Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
KIARONG, Khamis, 28 Mei. - Pujian takbir, tasbih dan tahmid bergema lagi di bumi Darussalam tanda syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kurniaan-Nya, kita menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah pada hari ini.
Dalam sama-sama mensyukuri nikmat yang kita raikan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai bersama para jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447H.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Pada pagi berkenaan, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah diimamkan oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Diikuti dengan Khutbah Sunat Hari Raya Aidiladha yang dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Mufti Kerajaan dalam khutbah pertamanya menjelaskan Idul Adha ertinya ialah Hari Raya Korban.
"Adapun asal korban di sini ialah dengan nyawa, di mana Nabi Ibrahim Alaihissalam telah diminta oleh Allah untuk mengorbankan nyawa putera baginda, iaitu Nabi Ismail Alaihissalam - satu ujian yang sangat sukar untuk dilaksanakan.
"Namun dua beranak ini ternyata manusia luar biasa; mereka tetap bersedia dan reda untuk mematuhi perintah Allah, walaupun perintah itu amat pahit bagi mereka," ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menerangkan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hajj, ayat 32, yang tafsirnya : “Barang siapa yang menghormati syiar-syiar atau tanda-tanda kebesaran Allah (seperti melakukan ibadat korban), maka sesungguhnya perbuatan seperti itu adalah terbit daripada hati-hati yang bertakwa.
Dalam khutbah keduanya pula, Yang Berhormat Mufti Kerajaan menjelaskan Negeri Mekah yang dahulunya kering kontang dan tidak aman, tiba-tiba menjadi subur dan aman, berkat doa Nabi Ibrahim Alaihissalam.
“Ini, tidak diragukan lagi adalah satu 'rahsia besar', rahsia ketuhanan bahawa doa mampu untuk mengubah keadaan, mampu untuk menjadikan bumi tandus menjadi subur dan mampu untuk menjadikan negeri kacau bilau menjadi aman, dan doa juga boleh menolak bala seperti banjir besar, ribut taufan, gempa bumi, kebakaran-kebakaran besar yang memusnahkan hutan dan kediaman," ujar Yang Berhormat lagi.
Negara Brunei Darussalam terang Yang Berhormat lagi, Alhamdulillah, betul-betul mirip seperti Mekah al-Mukarrammah, dari segi, ianya turut dibangun dengan doa, dengan zikir dan dengan Al-Quran.
"Brunei, tidak pernah sunyi daripada doa, daripada zikir, daripada Al-Quran.
"Maka kerana itu, Brunei pun kita dapati sentiasa dalam selamat, kerana ia adalah Negara Zikir, dan kepala zikir itu pula ialah Al-Quran.
"Al-Quran tidak diragukan lagi adalah penyelamat," terang Yang Berhormat lagi.
Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha diadakan secara serentak di masjid-masjid utama, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pada jam 7.30 pagi tadi dengan kehadiran ramai jemaah yang turut sama menyemarakkan Hari Kebesaran Islam berkenaan.
Hari Raya Aidiladha bukan sekadar sambutan, bahkan mengangkat makna ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Ismail Alaihissalam, yang terus menjadi inspirasi serta pedoman dalam kehidupan seharian umat Islam.