Lawatan dedahkan pelajar peranan, fungsi BKISHHB





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Ihsan Asrul Fadli Kasli, Hajah Siti Mardiah Haji Mashor





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 Mei. - Seramai 74 orang dari Sekolah Rendah Lamunin, Kluster 5 yang terdiri daripada 14 guru dan 60 murid telah mengadakan lawatan ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini.


Rombongan yang membawa murid-murid dari Prasekolah hingga Tahun 6 sekolah berkenaan diketuai oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Rozyta binti Haji Kepli.


Sejurus hadir ke BKISHHB, rombongan dialu-alukan dan seterusnya dibawa ke galeri pameran sambil diterangkan oleh Pemangku Pegawai Pameran, Awang Mohd. Azrin bin Mohd. Yassin.


Lawatan berkenaan merupakan program untuk menambahkan lagi pengetahuan tentang sejarah Islam dan juga Negara Brunei Darussalam (NBD) serta salah satu aktiviti sebelum menjalani cuti persekolahan penggal kedua yang akan bermula tidak lama lagi.


BKISHHB yang dahulunya dikenali sebagai Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPISHHB) dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28 Jamadilakhir 1422 Hijrah bersamaan 18 Ogos 2001 Masihi bersempena dengan Ekspo Islam Antarabangsa Pertama di NBD.


Pameran bahan koleksi pada masa berkenaan ditempatkan di Bangunan Darul Ifta' Brunei Darussalam.


Adapun peranan BKISHHB pada masa ini adalah antaranya mengumpul dan menyimpan khazanah warisan Islam, memelihara dan memulihara khazanah warisan Islam, mempamerkan khazanah warisan Islam secara ilmiah, melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan, dan menyebarkan ilmu melalui jalsah ilmiah, penyelidikan, penulisan, penterjemahan dan pembelajaran.


BKISHHB dapat diertikan sebagai satu tempat menyimpan dan mempamerkan bahan koleksi Islam milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Adapun koleksi khazanah Kebawah Duli Yang Maha Mulia merangkumi hampir 1,000 tahun artifak. Galeri berkenaan dibahagikan kepada sembilan bahagian termasuk Galeri 1 : Kebestarian Raja; Galeri 2 : Mushaf; Galeri 3 : Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; Galeri 4 : Athar Sahabat; Galeri 5 : Warisan Ilmu I; Galeri 6 : Warisan Ilmu II; Galeri 7 : Tanda-tanda Kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala; Galeri 8 : Astronomi; dan Galeri 9 : Kesenian Islam - Tongkat dan Tasbih serta Taman Herba dan Galeri Istimewa yang terdapat di BKISHHB.


Galeri BKISHHB dibukakan setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang (kemasukan terakhir jam 4.00 petang) kecuali Jumaat (tutup) begitu juga dengan kaunter tiket yang beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga 3.00 petang.


Selain itu, BKISHHB juga dibukakan semasa Cuti-cuti Kelepasan Awam kecuali hari pertama di bulan Ramadan, tiga hari awal Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah).


Close