101 kakitangan Kementerian Pembangunan terima Pingat Kerja Lama



​​


Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 Mei. - Seramai 101 orang penerima terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya menerima Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam, Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79.


Majlis pengurniaan pingat-pingat kehormatan tersebut berlangsung di Dewan Munawwarah, Setia Point, pagi tadi dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat majlis.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengiran Muhammad Faizal Akhbar bin Pengiran Salleh.


Pengurniaan pingat berkenaan merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada pegawai dan kakitangan yang telah berbakti serta berkhidmat lebih 20 tahun dalam perkhidmatan awam.


Selain itu, pengurniaan tersebut turut mencerminkan penghormatan terhadap jasa, dedikasi dan komitmen para penerima dalam menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara.


Sejurus selepas penyampaian pingat-pingat kehormatan, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara pada tahun 2023 dan 2024.


Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada para pesara yang hadir.


Seramai 174 pegawai dan kakitangan telah bersara pada tahun 2023, manakala 181 lagi bersara pada tahun 2024.


Terdahulu, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar membacakan teks ucapan penghargaan daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak khusus kepada para pesara.


Dalam ucapan tersebut, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas curahan bakti serta sumbangan para pesara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.


Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya yang telah menabur bakti dengan memberikan masa, tenaga dan khidmat sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.


Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, ketua-ketua jabatan, autoriti, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan serta pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.


Close