Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
GADONG, Selasa, 26 Mei. - Seramai 276 pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan serta tenaga pengajar institusi-institusi pendidikan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), terdiri daripada 104 lelaki dan 172 perempuan menerima Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun bagi Tahun 2025.
Hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman berlangsung di Songket Ballroom, Tingkat 4, Rizqun International Hotel, Gadong, hari ini.
Pengurniaan P.K.L ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan dedikasi serta komitmen tinggi dan kesetiaan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Di samping itu, pengurniaan tersebut dihasrat dapat menjadi pendorong dan penyuntik semangat kepada seluruh warga KHEU untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta produktiviti kerja ke arah yang lebih cemerlang.
Dalam temu bual bersama Guru Ugama di Sekolah Rendah Binutan, Dayang Hajah Naimah binti Haji Maidin, 58 tahun, selaku penerima P.K.L melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan pingat berkenaan. Menurut beliau, pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan besar kepada beliau setelah berkhidmat sepanjang 38 tahun.
“Penjawat awam yang masih lagi menanai tanggungjawab dalam perkhidmatan perlu meneruskan usaha untuk menyampaikan khidmat dengan telus dan amanah, dan sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan sesuatu gerak kerja yang seterusnya akan mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan positif," jelasnya.
Manakala Pembantu Pejabat di Jabatan Perundangan Islam, KHEU, Awang Haji Mohd. Faisal bin Haji Marsidi, yang telah berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah DYMM sejak tahun 1998 turut merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala serta Kerajaan Kebawah DYMM khususnya KHEU atas pengurniaan pingat berkenaan.
“Nasihat saya semestinya 'kitani' hendaklah jujur lagi amanah, berdisiplin dan penuh bertanggungjawab. Yang penting 'kitani' hendaklah ikhlas dalam menanai tugas yang diberikan kepada 'kitani'," tambahnya.
Antara kriteria penerima P.K.L ialah telah berkhidmat selama genap 20 tahun, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik; memiliki keperibadian terpuji serta memperoleh penilaian prestasi pada tahap sangat baik sepanjang tiga tahun kebelakangan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Hadir sama ialah pengarah-pengarah dan para pegawai kanan di bawah KHEU. Majlis berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Dasar dan Strategik dengan kerjasama Jabatan Pentadbiran, KHEU.