Raikan semangat kemasyarakatan, kesukarelawanan



​​​

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam





 

BERAKAS, Ahad, 24 Mei. - Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini menganjurkan Majlis Makan Malam Persatuan Singapura 2026 di Cesar Grand Hall, Hotel Mulia, Berakas, yang menghimpunkan komuniti rakyat Republik Singapura, rakan kerjasama, penaja, dan sahabat-sahabat Republik Singapura dalam satu malam penuh kemeriahan, jaringan silaturahim, dan semangat kemasyarakatan.


Majlis yang bertemakan retro berkenaan telah diserikan dengan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, selaku tetamu kehormat.


Para penaja platinum turut diberikan penghargaan atas sokongan besar mereka dalam menjayakan acara tersebut.


Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Persatuan Singapura, Melhan Adam, menekankan kepentingan semangat kesukarelawanan, perpaduan komuniti, dan usaha menyumbang kembali kepada masyarakat Brunei secara lebih meluas.


Beliau berkongsi bahawa walaupun komuniti rakyat Republik Singapura di Brunei tidak besar dari segi jumlah, mereka terus menunjukkan semangat kampung yang kuat serta komitmen terhadap inisiatif kemasyarakatan yang bermakna.


Salah satu inisiatif yang disokong pada tahun ini ialah Program Sarapan Pagi Sekolah selama setahun bagi pelajar-pelajar yang memerlukan di Sekolah Rendah Rataie, Temburong, melalui sumbangan berjumlah BND5,000 hasil kerjasama dengan Majlis Kesejahteraan Masyarakat.


Beliau turut menambah bahawa inisiatif seperti ini mampu memberikan impak yang bermakna dalam menyokong kesejahteraan dan pembelajaran para pelajar.


Persatuan tersebut kekal komited dalam memupuk persahabatan, penglibatan komuniti, serta hubungan erat antara rakyat Republik Singapura dan NBD.




Close