Terus memperkukuh pembangunan sumber manusia Jabatan Penjara





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman

 




MARABURONG, Sabtu, 23 Mei. - Skim Perkhidmatan Jabatan Penjara yang baharu yang melibatkan pengemaskinian sukatan tangga gaji telah mendapat kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 September 2025.


Pengemaskinian ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh pembangunan sumber manusia Jabatan Penjara melalui penyediaan laluan kerjaya yang lebih terbuka, tersusun dan progresif, di samping memperkenalkan struktur remunerasi yang lebih kompetitif serta bersesuaian dengan tahap tanggungjawab, risiko dan beban tugas yang dipikul oleh warga Jabatan Penjara.


Perkara itu disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa berucap di Majlis Perbarisan sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara Ke-72 Tahun 2026 bertempat di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, pagi tadi.


Dalam kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita menasihatkan kepada seluruh pegawai dan anggota Jabatan Penjara selaku anggota beruniform untuk sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme, disiplin, akauntabiliti dan integriti yang tinggi serta menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik semua dan nama baik jabatan.


"Jabatan dan kementerian akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melanggar undang-undang, menyalahgunakan kuasa serta terlibat dalam salah laku atau mencemarkan integriti dan imej Jabatan Penjara," tegas Yang Berhormat.


Justeru, sempena Ulang Tahun Penubuhan yang Ke-72 ini, Yang Berhormat menganjurkan untuk sama-sama berdoa agar Jabatan Penjara akan terus diberikan hidayah, ketabahan dan kekuatan dalam melaksanakan amanah yang dipikul dengan cemerlang demi keamanan, kestabilan dan keharmonian Negara Brunei Darussalam yang kita cintai.


Seterusnya membacakan Surah Al-Fatihah kepada anggota-anggota Jabatan Penjara yang telah kembali ke rahmatullah, dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan solihin, Amin Ya Rabbal Alamin.


Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat menggariskan sambutan hari ini diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan pencapaian seluruh warga Jabatan Penjara yang telah menabur bakti dengan penuh komitmen selaras dengan amanah yang dipertanggungjawabkan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.


Yang Berhormat turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pegawai dan anggota Jabatan Penjara atas pelaksanaan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang lebih tujuh dekad dalam memastikan peranan jabatan ini sentiasa relevan dan berkesan dalam sistem keadilan jenayah serta keselamatan negara.


Close