Komited laksanakan program pemulihan banduan secara holistik





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman

 




MARABURONG, Sabtu, 23 Mei. - Sebagai salah sebuah agensi kerajaan yang menggalas amanah dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan negara, Jabatan Penjara turut melaksanakan pelbagai program pemulihan yang bermanfaat kepada insan-insan yang diberikan peluang kedua untuk kembali ke landasan yang benar dan diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


"Peramba/Saya menyambut baik usaha Jabatan Penjara dalam merancang dan melaksanakan program-program pemulihan berteraskan proses 'desistance'," terang Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap di Majlis Perbarisan sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara Ke-72, Tahun 2026 bertempat di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, di sini.


'Desistance' dalam konteks kriminologi dan sistem penjara adalah merujuk kepada proses seseorang individu berhenti daripada terlibat dalam tingkah laku jenayah dan secara beransur-ansur kembali menjalani kehidupan yang positif serta diterima masyarakat.


Setentunya usaha sedemikian, jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, menuntut komitmen yang berterusan daripada seluruh pegawai dan anggota Jabatan Penjara, di samping sokongan serta kerjasama berterusan daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation dan yang penting sekali adalah dari ahli keluarga.


Program pemulihan yang dimaksudkan terang Yang Berhormat lagi, turut memfokuskan kepada pelaksanaan program akademik yang memberi peluang kepada para banduan untuk meneruskan pembelajaran mereka.


Dalam hubungan ini, Jabatan Penjara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, baru-baru ini telah memberi peluang kepada seramai 32 orang banduan tempatan untuk menduduki peperiksaan GCE 'O' Level.


"Usaha ini mencerminkan komitmen jabatan dalam memastikan sinar ilmu tidak terhenti walaupun mereka berada di sebalik tembok penjara," ujar Yang Berhormat lagi.


Dalam usaha memperkasa program pemulihan dari aspek keagamaan dan kerohanian, khususnya Program Hafazan Al-Quran yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014 melalui kerjasama Pusat Pembangunan dan Pembelajaran Al-Quran (PPPQ), MABIMS; Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Aftercare Support Association (AFSA), Yang Berhormat sukacita menyarankan agar Jabatan Penjara meneliti semula insentif di bawah Skim Tasmie' Menghafaz Al-Quran bagi menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam kalangan banduan tempatan, di samping memastikan pelan latihan yang lebih terancang serta bimbingan yang berterusan.


Yang Berhormat juga menjelaskan pada masa ini, Jabatan Penjara telah menjalinkan kerjasama dengan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu dengan melaksanakan program vokasional menenun kain bagi tujuan memelihara dan memperkukuh warisan seni pertukangan tangan Brunei di samping mempersiapkan para banduan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan setelah keluar dari pemenjaraan nanti.


"Setakat ini, seramai empat orang banduan telah mengikuti program tersebut," terang Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga turut menghargai kerjasama berterusan pihak swasta dalam menjayakan program pemulihan, seperti Program Upskilling yang melibatkan seramai empat orang banduan tempatan yang berjaya mengikuti Kursus Kemahiran Rigger, manakala enam orang lagi telah berjaya mengikuti Kursus Scaffolding. Selain itu, seorang Rakan Seliaan telah turut berjaya mengikuti program Heavy Goods Transport (HGT) sejurus selepas dibebaskan.


Di samping itu jelas Yang Berhormat, Projek Pertanian dan Penanaman Padi dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Bank Islam Brunei Darussalam wajar diperkasakan sebagai salah satu program pemulihan yang berdaya maju dalam menyahut inisiatif kerajaan untuk mengembangkan sektor berkenaan.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan Jabatan Penjara juga telah giat melaksanakan pelbagai Program Kemasyarakatan di keempat-empat buah daerah sepanjang tahun 2025 dengan penglibatan para sukarelawan daripada UNISSA, KUPU SB dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, anggota masyarakat, syarikat swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kerajaan.


Kerjasama pelbagai pihak ini tambahnya, diharap akan menjadi pemangkin kepada kejayaan usaha pemulihan yang lebih inklusif dan berkesan.


Di peringkat serantau pula terang Yang Berhormat, susulan pemeteraian Triti Pemindahan Banduan Antarabangsa (International Transfer of Prisoners Treaty - ITOP) di Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2023 yang lalu, pemindahan seramai enam orang banduan warganegara Malaysia telah berjaya dilaksanakan pada Ogos tahun lalu di mana inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia malah turut mencerminkan komitmen bersama dalam menjaga kebajikan banduan serta memperkukuh proses pengintegrasian semula ke negara asal.


Close