Lawatan rasmi teroka peluang kerjasama MMN, Parlimen Republik Singapura





Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat




 

REPUBLIK SINGAPURA, Sabtu, 23 Mei. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib baru-baru ini telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Singapura atas undangan Speaker of the Parliament of Singapore, Yang Berhormat Seah Kian Peng.


Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut disertai oleh empat orang Ahli-ahli MMN, iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin; dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.


Lawatan Rasmi dimulakan dengan Kunjungan Hormat kepada Yang Berhormat Seah Kian Peng dan lawatan ke Parliament of Singapore pada Rabu, 20 Mei 2026.


Semasa Kunjungan Hormat tersebut, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh hubungan baik antara MMN dan Parlimen Republik Singapura, termasuk meneroka peluang bagi pertukaran lawatan bagi meningkatkan kerjasama, kefahaman tadbir urus serta keutamaan masing-masing.


Perbincangan turut menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama termasuk usaha meningkatkan akses dan penglibatan masyarakat terhadap institusi parlimen, serta kepentingan meningkatkan keselamatan makanan melalui teknologi pertanian dan makanan ('agritech food').


Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka potensi penubuhan Jalinan Persahabatan antara MMN dan Parlimen Republik Singapura (Friendship Group between the Legislative Council of Brunei Darussalam and Parliament of Singapore) bagi memperkukuhkan hubungan erat dan kerjasama antara kedua-dua parlimen.


Pada Khamis, 21 Mei 2026, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN seterusnya mengadakan Kunjungan Hormat kepada Perdana Menteri Republik Singapura di Istana, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.


Perbincangan memberi tumpuan kepada pertukaran pandangan mengenai usaha mengukuhkan lagi hubungan baik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.


Sepanjang Lawatan Rasmi tersebut, Ahli-ahli MMN turut berpeluang melawat beberapa tempat strategik termasuk Singapore City Gallery, Urban Redevelopment Authority.


Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN juga berkesempatan mengadakan lawatan ke Wisma Geylang Serai dan Pasar Geylang Serai (Geylang Serai Market) bersama Yang Berhormat Speaker of the Parliament of Singapore.


Lawatan Rasmi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan hubungan dua hala serta kerjasama dan persahabatan antara parlimen kedua-dua negara.


Lawatan ini turut menjadi platform bagi pertukaran pandangan, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang berkaitan parlimen, tadbir urus, dasar awam dan hal ehwal perundangan sekali gus meningkatkan persefahaman serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.


Close