Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Jumaat, 22 Mei. - Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah meraikan tiga lagi anggota ABDB yang baharu memeluk agama Islam dalam satu majlis yang berlangsung di Surau Ar-Rahmah, Perkhemahan Lumut, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota-anggota ABDB dan ahli keluarga anggota-anggota yang diraikan.
Turut diundang sebagai jemputan khas ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Ketua Perkembangan Da'wah, PDI, Pemangku Penghulu Mukim Gadong 'A' dan Ketua Kampung Kawasan 3, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku dan Ketua Kampung Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara Meragang.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Mu'minun, ayat 1 hingga 11 yang dibacakan oleh Lans Koperal Haji Mohammad Fahmi 'Izzuddin bin Mudim Awang Haji Tamin.
Acara diteruskan dengan laungan Asmaul Husna dan Selawat Tafrijiyyah, diikuti dengan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai sebagai simbol kesyukuran dan kegembiraan dalam meraikan saudara-saudara baharu yang diraikan.
Sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan bagi memperingati Majlis Pengislaman tersebut, Pemerintah ABDB telah menyampaikan cenderamata kepada Lans Koperal Muhammad Dazrren bin Dahlan dari Rejimen Pengawal Diraja, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); Soldadu Muhammad Nur Amizal bin Abdullah Anggang dari Batalion Ketiga TDDB dan Laskar Muda Muhammad Darryl bin Jimmay, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dari Skuadron Bantu, TLDB.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, Selawat Qiyam, Surah Al-Asr, Tasbih Kifarah serta doa memohon keampunan dan disudahi dengan sesi bergambar ramai.
Majlis ini diungkayahkan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga ABDB serta memberikan sokongan moral dan kerohanian kepada saudara-saudara baharu ABDB dalam mengharungi fasa baharu kehidupan mereka.