Membincangkan langkah memperkukuh keselamatan, kesejahteraan sosial masyarakat



Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei






TUTONG, Jumaat, 22 Mei. - Satu sesi muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong telah diadakan baru-baru ini di Bilik Gerakan, Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi membincangkan langkah-langkah memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan sosial masyarakat selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.


Muzakarah berkenaan telah dipengerusikan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Irham bin Haji Muhammad Arshad.


Ia menjadi platform bagi membincangkan pelaksanaan kaedah rondaan sukarela dalam kalangan penduduk kampung sebagai usaha pencegahan jenayah di kawasan masing-masing.


Turut hadir pada muzakarah berkenaan, Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong; dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong selaku wakil Pejabat Daerah Tutong, serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.


Muzakarah berkenaan turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama masyarakat dalam menjaga keamanan negara. Kepimpinan akar umbi memainkan peranan penting sebagai penghubung serta pelindung komuniti melalui pengenalpastian isu-isu sosial dan keselamatan di peringkat kampung.


Tumpuan turut diberikan kepada isu jenayah dan keselamatan jalan raya. Statistik jenayah serta lalu lintas telah dibentangkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang demi menjamin keselamatan bersama.


Close