Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
LONDON, UNITED KINGDOM, Jumaat, 22 Mei. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh telah menghadiri Education World Forum (EWF) 2026 yang berlangsung di London, United Kingdom (UK) dari 17 hingga 20 Mei 2026.
EWF merupakan forum pendidikan antarabangsa tahunan terbesar yang menghimpunkan para Menteri Pendidikan, pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar pendidikan dari seluruh dunia bagi membincangkan perkembangan, cabaran serta hala tuju sektor pendidikan global.
Tema EWF pada tahun ini ialah 'Pendidikan Untuk Masa Depan Bersama : Keamanan (Peace), Bumi (Planet), Tujuan (Purpose) dan Laluan (Pathways)'.
Forum tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Negara bagi Pendidikan dan Menteri bagi Wanita dan Kesaksamaan, Jabatan Pendidikan, UK, The Rt Hon Bridget Phillipson MP, di mana The Rt Hon Bridget Phillipson MP, menegaskan pentingnya pendidikan awal dan inklusif bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas dan ketidakupayaan.
The Rt Hon Bridget Phillipson MP turut mengumumkan penganjuran International Special Educational Needs and Disabilities (SEND) Alliance pada tahun 2027 yang merupakan gabungan negara yang akan berhimpun menerusi siri sidang kemuncak bagi merangka hala tuju bersama untuk masa hadapan.
Sepanjang forum tersebut, Yang Berhormat Menteri Pendidikan telah menghadiri beberapa Sesi Plenari (Plenary Sessions) dan Selari (Parallel Sessions) yang memfokuskan kepada transformasi pendidikan, penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan dalam pendidikan, pembangunan kemahiran masa hadapan, kesejahteraan pelajar serta pengukuhan sistem pendidikan yang inklusif dan mampan.
Di samping itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga mengadakan beberapa sesi pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Jabatan Pendidikan, UK antaranya Setiausaha Negara bagi Pendidikan dan Menteri bagi Wanita dan Kesaksamaan; Menteri Negara (Menteri bagi Piawaian Sekolah), Georgia Gould dan Setiausaha Rendah Parlimen Negara (Menteri bagi Kanak-kanak dan Keluarga), Josh MacAlister dan wakil-wakil organisasi antarabangsa bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam forum ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara agar kekal relevan, berdaya tahan dan responsif terhadap perkembangan global selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Forum tersebut turut memberikan peluang kepada NBD untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara dalam bidang pendidikan serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan antarabangsa.
Turut menyertai rombongan Yang Berhormat Menteri Pendidikan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Dayang Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu serta beberapa pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Unit Pelajar-pelajar, London, UK.