Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
TUNGKU, Jumaat, 22 Mei. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) merupakan wadah amal jariah dan derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama ahli keluarga baginda sebagai tanda pemedulian dan kasih sayang baginda terhadap rakyat, di samping menyumbang ke arah pembentukan masyarakat Negara Brunei Darussalam (NBD) yang sejahtera dan makmur.
Sehubungan dengan itu, YSHHB pagi tadi mengadakan Majlis Memulakan Tiang bagi Projek Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Bantuan Perumahan YSHHB bagi tahun 2025 hingga 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Majlis memulakan tiang bagi projek pembinaan rumah berkenaan menandakan bermulanya projek pembinaan bagi lima buah rumah bantuan, iaitu empat buah rumah di Daerah Brunei dan Muara (DBM), manakala sebuah rumah lagi di Daerah Belait.
Projek pembinaan rumah bantuan merupakan salah satu sumbangan YSHHB dalam menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat, selesa dan sempurna kepada golongan yang kurang berkemampuan, termasuk mereka yang sebelum ini tinggal dalam keadaan rumah yang daif dan tidak selamat untuk didiami.
Penyediaan bantuan perumahan berkenaan juga adalah selaras dengan tujuan penubuhan YSHHB dalam bidang kebajikan, serta mendukung salah satu Matlamat Strategik YSHHB, iaitu mengimbangi pemedulian keperluan asasi di samping tempat tinggal yang sempurna bukan sahaja menjadi perlindungan fizikal, malah merupakan asas penting dalam membina kehidupan keluarga yang lebih teratur, sihat dan sejahtera.
Majlis pada hari berkenaan berlangsung di tapak pembinaan bagi dua buah rumah bantuan YSHHB, iaitu di Lot LTS16/2025 dan Lot LTS17/2025, simpang 185-82-51, Kampung Katok, Jalan Tungku, Mukim Gadong 'A', DBM.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan laungan azan dan selawat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Gadong, Awang Mohammad Adham bin Hashim.
Majlis diteruskan dengan upacara memulakan tiang bagi pembinaan rumah bantuan yang didahului oleh tetamu kehormat. Majlis berakhir dengan bacaan Doa Selamat.
Projek pembinaan rumah bantuan berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2026. Reka bentuk rumah bantuan YSHHB mengetengahkan konsep yang lebih moden serta selaras dengan perkembangan teknologi semasa dalam pembinaan rumah kos rendah. Selain itu, kaedah pembinaannya juga membolehkan projek disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan YSHHB; Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB; Ahli-ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB; pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan, pegawai-pegawai kanan YSHHB; serta pihak syarikat kontraktor pembinaan.