Kementerian Pertahanan bertahlil di Kubah Makam Diraja



Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 22 Mei. - Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil khusus buat paduka ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Majlis yang diadakan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-65 berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.


Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof. Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan.


Bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil beramai-ramai telah dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, diikuti bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Majlis ini merupakan antara pengisian keagamaan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-65, dengan acara kemuncaknya yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 31 Mei 2026.


Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan nilai kerohanian dalam kalangan warga ABDB, malah turut menjadi wadah untuk memohon keberkatan, keamanan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.


Close