Kunjungan hormat memperkukuhkan hubungan dua hala




Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat dan Ministry of Digital Development and Information, Singapore.​





SINGAPURA, Jumaat, 22 Mei. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, bertempat di Istana, Republik Singapura, baru-baru ini.


Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ahli-ahli MMN, iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.


Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua belah pihak merakamkan penghargaan atas hubungan dua hala yang kukuh dan sekian lama terjalin dalam pelbagai bidang termasuk dari segi ekonomi dan pertahanan dalam mana kedua negara akan menyambut Ulang Tahun Kali Ke-50 bagi Kerjasama Pertahanan (Defense Cooperation) dan Ulang Tahun Kali Ke-60 bagi Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang (Currency Interchangeability Agreement).


Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Perdana Menteri Singapura sempena pengambilalihan kepengerusian ASEAN pada tahun 2027.


Kedua belah pihak juga menyentuh mengenai kepentingan kesepaduan dalam mengukuhkan lagi mekanisme intra-ASEAN terutama sekali dari segi keselamatan makanan dan bagi bekalan minyak dan gas.


Selain itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut merakamkan penghargaan kepada Singapura atas bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh Singapura termasuk rawatan perubatan yang dihulurkan kepada rakyat Negara Brunei Darussalam (NBD), menawarkan kursus latihan bagi penuntut-penuntut NBD di Singapura dan program pertukaran pegawai Perkhidmatan Awam.


Pada mengakhiri perbincangan, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan baik di antara NBD dan Republik Singapura. Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN serta rombongan berada di Republik Singapura bagi mengadakan Lawatan Rasmi selama dua hari.


Lawatan ini adalah sebagai usaha memperkukuh kerjasama antara institusi legislatif ASEAN terutamanya mempererat hubungan dua hala antara institusi legislatif NBD dan Republik Singapura.​

Close