Oleh : Nurdiyanah Rajami / Foto : Ihsan Pusat Pembangunan Belia
TANAH JAMBU, Khamis, 21 Mei. - Seramai 25 orang peserta dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini telah menamatkan Bengkel Dikir Brunei (Syarafil Anam) yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB) di bawah Bahagian Kerohanian dan Keugamaan.
Sehubungan itu, hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada para peserta bertempat di PPB ialah Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.
Bengkel yang dilaksanakan selama dua hari bermula 20 Mei 2026 berkenaan antara lain bertujuan sebagai usaha memelihara dan memperkembangkan warisan budaya bangsa.
Selain itu, ia juga adalah untuk memberi pendedahan pengetahuan kepada para peserta untuk lebih mendalami keindahan seni Dikir Brunei sekali gus memahami teknik tradisional serta menghayati nilai-nilai murni yang terkandung dalam seni warisan tersebut.
Oleh yang demikian, pihak PPB juga begitu berharap ia dapat menjentik minat seluruh lapisan masyarakat Melayu Islam khususnya termasuklah juga golongan generasi muda di Negara Brunei Darussalam kita untuk lebih menghargai dan meneruskan amalan dikir sebagai sebahagian daripada identiti budaya Brunei.