NBD - Republik Persekutuan Jerman terus mempertingkatkan hubungan dua hala pelbagai bidang



Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said






BERLIN, REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN, Isnin, 18 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Federal Minister for Foreign Affairs of Germany, Tuan Yang Terutama Dr. Johann Wadephul.


Majlis Mengadap berkenaan diadakan di Berlin.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengongsikan bahawa selaku Penyelaras Negara semasa bagi Hubungan Dialog ASEAN-EU, Negara Brunei Darussalam (NBD) sedang mempertimbangkan secara positif permohonan Republik Persekutuan Jerman untuk menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN.


Kebawah DYMM juga menzahirkan rasa sukacita bahawa NBD telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-EU Ke-25 pada bulan lalu, yang telah memperkukuh hala tuju strategik kerjasama berkenaan.


Baginda turut berharap agar Republik Persekutuan Jerman akan terus menyokong usaha ASEAN dalam memajukan agenda iklim, khususnya melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN.


Kebawah DYMM dan Tuan Yang Terutama kemudian membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama serta berharap untuk terus mempertingkatkan hubungan dua hala antara NBD dan Republik Persekutuan Jerman, termasuk dalam bidang keselamatan, pertahanan, pendidikan, tenaga, pertanian dan teknologi maklumat.


Close