Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said
BERLIN, REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN, Isnin, 18 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memulakan Keberangkatan Rasmi ke Republik Persekutuan Jerman, hari ini.
Keberangkatan tersebut dimulakan dengan Majlis Perjumpaan dengan Presiden Persekutuan Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier yang diadakan di Villa Borsig di Berlin.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di pekarangan Villa Borsig dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier.
Sebelum majlis bermula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung untuk menandatangani Buku Pelawat, diikuti dengan sesi bergambar bersama Tuan Yang Terutama. Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM seterusnya berangkat bersama TYT Presiden Republik Persekutuan Jerman bagi Perjumpaan Tête-à-Tête.
Kebawah DYMM menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang telah lama terjalin dengan Republik Persekutuan Jerman yang menjangkau lebih 40 tahun. Kebawah DYMM dan TYT berbincang untuk mengesahkan semula persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Persekutuan Jerman.
Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan perkembangan berterusan dalam hubungan dua hala dan menyatakan kerjasama yang semakin berkembang dalam pelbagai bidang. Mengenai isu-isu serantau, baginda bertitah mengalu-alukan Ulang Tahun Hubungan ASEAN-EU Ke-50 pada tahun 2027.
Setelah selesai Perjumpaan Tête-à-Tête, Kebawah DYMM disembahkenalkan kepada delegasi Republik Persekutuan Jerman dan TYT Presiden Republik Persekutuan Jerman diperkenalkan kepada delegasi NBD.