Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Ampuan Saiful Rizal Ampuan Hussain
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 Mei. - Kecekalan dan kekuatan jitu dalam pendakian serta dengan semangat juang yang tinggi dan keterujaannya, Ampuan Saiful Rizal bin Ampuan Hussain kali ini tercapai misi menawan 11 puncak gunung tertinggi di wilayah Jawa Timur, Republik Indonesia dengan keseluruhan ketinggian 24,240 meter dari Meter Di Atas Permukaan Laut (mdpl) dalam masa empat hari sahaja.
Kejayaan misinya dalam waktu yang begitu singkat itu, siapa sangka pendaki anak tempatan pertama Negara Brunei Darussalam (NBD) berasal dari Kampung Menengah, Daerah Temburong berkenaan berjaya mengukir nama dan juga negara kita sekali gus sangat bersyukur dan bangga apabila berjaya mengibarkan bendera NBD di puncak 11 gunung berkenaan meskipun pelbagai cabaran dan rintangan yang harus ditempuhi.
Rombongan mereka yang juga disertai oleh empat penyertaan dari Republik Indonesia, iaitu Tumpak Hendry Butar Butar dan Thio Hendro Kristianto serta dua pendaki wanita, Catherine dan Anita yang saling bekerjasama sehingga berjaya menyelesaikan setiap puncak pendakian.
Pelita Brunei dalam temu bual bersama Ampuan Saiful Rizal menceritakan pengalamannya bersama rombongan di bawah urusan Syarikat JE Adventure (Jemmy Affendy), Republik Indonesia yang memulakan pendakian bermula pada 14 sehingga 16 Mei 2026 di Gunung Arjuno (3,339mdpl), Gunung Kembar 1 (3,058mdpl), Gunung Kembar 2 (3,126mdpl) dan juga Gunung Welirang (3,156mdpl) berjaya sampai ke puncaknya dalam masa tiga hari. Jumlah keseluruhannya 12,679 mdpl.
Sementara pada 17 Mei 2026 pula katanya, mereka berjaya menawan tujuh lagi gunung dalam masa sehari, iaitu Gunung kelud 7 Summit, iaitu Sejati Peaks (1,731mdpl), Panama Peaks (1,700mdpl), Wesanggeni Peaks (1,680mdpl), 360 Peaks (1,650mdpl), Balai martyu Peaks (1,550mdpl), Tulungrejo Peaks (1,520mdpl) dan Anak Lembu Suro Peaks (1,730mdpl) yang menjadikannya keseluruhan 11,561mdpl.
Menurutnya lagi, cuaca bagi empat gunung berkenaan begitu mengizinkan namun suhunya menurun dengan begitu sejuk apabila ketika menjelang malam ke waktu subuh.
Selain itu tambahnya, cabaran di gunung Kembar 2 pula terdapatnya wap yang panas di sekelilingnya bersama sulfur (belirang) begitu juga keadaan di gunung Welirang yang masih aktif dengan gunung berapinya kerana terdapat banyak asap sulfur dan juga batu-batu belirangnya.
Sementara semasa pendakian gunung Kelud 7 Summit katanya, cuaca agak berkabus diikuti dengan angin yang agak kuat namun mereka sudah membuat persiapan dengan membawa peralatan-peralatan keselamatan seperti helmet, 'harness' dan lainnya termasuk tali untuk membawa ke puncak dan turun menggunakan kaedah 'abseiling'.
Ampuan Saiful Rizal seterusnya menjelaskan sudah setentunya, kejayaan yang digapai berkenaan bukan mudah dan memerlukan persiapan-persiapan awal antaranya latihan intensif yang memfokuskan kepada ketahanan fizikal dan mental selain latihan berlari, pendakian ke bukit-bukit di kawasan Daerah Temburong.
Selain itu, beliau juga sering pergi ke gim bagi memperkuatkan lagi ketahanan fizikal badan serta yang utama adalah menjaga kesihatan termasuk dari segi penjagaan makan dan minum serta rehat yang mencukupi.
Ampuan Saiful Rizal juga menjelaskan, meskipun kos perbelanjaan kesemuanya ditanggungnya sendiri, akan tetapi keazaman untuk mencapai dan merealisasikan keinginan, beliau terus nekad dan berazam semata-mata hanya untuk pencapaian dirinya sendiri sekali gus mengharumkan nama negara yang tercinta.
Terdahulu, beliau telah berjaya menawan puncak 7 Summit Sembalun Lombok Republik Indonesia pada 2024 diikuti dengan 7 Summit Jawa Tengah Republik Indonesia pada tahun yang lalu.
Ampuan Saiful Rizal menyeru kepada generasi masa kini agar tidak mudah mengalah, teruskan perjuangan demi untuk mencapai apa yang diimpikan kerana impian berkenaan akan dapat digapai dengan usaha dan doa.
Selain itu katanya, jauhilah jenayah dan dadah yang sudah pastinya punca kemusnahan dan keburukan yang merosakkan diri sendiri.