Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
SENGKURONG, Isnin, 18 Mei. - Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong baru-baru ini mengadakan Program 'Level Up: Amazing Race Edition' bertempat di Masjid Sultan Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong.
Program yang berlangsung seawal 7.45 pagi hingga 11.30 pagi itu menyaksikan penyertaan seramai 48 orang belia yang majoritinya berumur 17 hingga 25 tahun.
Program ini merupakan salah satu siri di bawah Program 'The Journey Back to Allah' yang menggabungkan aktiviti santai dan interaktif berkonsepkan 'Amazing Race', sambil menerapkan nilai-nilai Islam dalam kalangan peserta.
Antara objektif program adalah membina ukhuwah, mengukuhkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan, serta menggalakkan belia mendekati Allah Subhanahu Wata'ala melalui pendekatan yang relevan dengan generasi kini.
Program berkenaan turut menekankan penghayatan Al-Quran dan sunnah serta pembentukan jati diri yang positif.
Sebanyak lima 'checkpoint' cabaran disediakan yang menguji kerjasama, kreativiti dan penyelesaian masalah, dengan selitan pengajaran dan refleksi.
Pihak penganjur berharap program ini memberi pengalaman bermakna serta menggalakkan peserta terus aktif dalam program pembangunan belia, menghadiri majlis ilmu, mendekatkan diri dengan komuniti masjid serta berpeluang menjadi ahli Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong untuk terus terlibat dalam aktiviti belia pada masa akan datang.