Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin. 18 Mei. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah telah menyelaras lawatan sambil belajar delegasi Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) ke Serangoon Garden Secondary School, Republik Singapura selama lima hari bermula hari ini hingga 22 Mei 2026.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala melalui pertukaran amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara holistik.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada para delegasi ialah Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan.
Delegasi NBD diwakili oleh 15 peserta yang terdiri daripada 12 pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 serta tiga guru pengiring dari STPRI.
Antara aktiviti yang telah disusun termasuk sesi pembelajaran bersama di bilik darjah, program kepimpinan pelajar serta pengalaman amali menerusi pelbagai pendekatan pembelajaran.
Delegasi juga akan mengadakan lawatan pembelajaran ke beberapa tapak bersejarah dan lokasi berkonsepkan kelestarian di Republik Singapura, selain menyertai sesi pertukaran budaya bagi memupuk persefahaman antara kedua-dua buah sekolah.
Melalui penyertaan tersebut, para pelajar diharap akan memperoleh pendedahan terhadap sistem pendidikan antarabangsa di samping memperkukuh semangat persahabatan serta nilai-nilai sejagat yang merentasi sempadan negara.
Para peserta turut berpeluang mengetengahkan identiti dan warisan kebudayaan NBD menerusi persembahan serta interaksi bersama para pelajar di Republik Singapura.
Sementara itu, Penolong Guru Kanan Akademik, Dayang Zaiton binti Haji Metussin, selaku Ketua Rombongan berkata, para penuntut diharap dapat memanfaatkan peluang berkenaan untuk menambah ilmu pengetahuan, membina kemahiran kepimpinan serta menimba pengalaman bersama pihak Serangoon Garden Secondary School sebelum membawa pulang amalan terbaik untuk dikongsikan di STPRI.
Beliau turut menjelaskan bahawa para penuntut telah diberikan taklimat awal selain menjalankan kajian mengenai Republik Singapura dan sekolah yang akan dilawati sebagai persediaan awal.
Mereka juga mengikuti beberapa sesi latihan dan perbincangan bagi memastikan lebih bersedia serta yakin sepanjang mengikuti program tersebut.
Tambahnya lagi, para penuntut juga diingatkan supaya sentiasa menjaga nama baik sekolah dan NBD serta mengekalkan semangat untuk terus menimba ilmu sepanjang berada di Republik Singapura.
Salah seorang peserta rombongan, Dayang Nur Syaza Shakira binti Muhammad Jefry melahirkan rasa syukur dan teruja kerana diberi peluang mewakili sekolah ke Republik Singapura.
Menurutnya, penyertaan tersebut merupakan satu penghormatan besar untuk membawa nama sekolah dan negara, selain berpeluang menimba ilmu serta pengalaman baharu termasuk mempelajari budaya dan cara pembelajaran di sana.
Dayang Nur Syaza Shakira turut menyatakan keterujaan untuk menyertai sesi pertukaran budaya dan mempersembahkan budaya Brunei di hadapan para pelajar di sana nanti, di samping berkenalan dan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan baharu.
Sebagai persediaan memperkenalkan budaya Brunei, beliau berkata para peserta turut mempelajari lebih mendalam mengenai adat resam, makanan tradisional dan tempat-tempat menarik di negara ini agar dapat berkongsi maklumat yang tepat dan menarik kepada para pelajar di Republik Singapura.