Doa Kesyukuran sempena memperingati WTISD 2026





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





MADANG, Isnin, 18 Mei. - Bersempena dengan memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2026, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) hari ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran, bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (Masjid SSBRPAD), Kampung Manggis / Madang.


Hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Ketua Eksekutif AITI, Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad.


Tetamu jemputan yang lain terdiri daripada pegawai-pegawai kanan MTIC, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan AITI, serta wakil-wakil dari InfoCom Federation Brunei (IFB), dan penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi.


Majlis dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Awang Fariszal bin Ali, dan diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Fardu Asar Berjemaah.


Majlis diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Imam Masjid SSBRPAD, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.


WTISD disambut setiap tahun pada 17 Mei bagi memperingati ulang tahun penandatanganan Konvensyen Telegraf Antarabangsa Pertama serta penubuhan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunication Union - ITU).


Sambutan berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan internet dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pembangunan sosial dan ekonomi, di samping merapatkan jurang digital antara komuniti.


Sambutan tahun ini membawa tema 'Talian Hayat Digital : Memperkukuh Daya Tahan dalam Dunia Terhubung' yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital yang selamat, kukuh dan mampan bagi menyokong keterhubungan serta ketahanan digital yang berterusan.


Close