Peluang generasi belia kenali, dalami budaya warisan tempatan





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas





LAMUNIN, Ahad, 17 Mei. - Acara komuniti Glam Kampung Galore Edisi Ketiga bertemakan 'Adau Gayoh – Reculture' dihasrat untuk mempromosikan lagi budaya tradisi masyarakat Sang Jati Dusun di negara ini, selain menyuntik kesedaran dalam kalangan belia agar lebih peka terhadap komuniti sekeliling serta menjadi platform untuk mereka berkongsi projek dan usaha yang sedang dijalankan.


Diadakan bersempena Sambutan Adau Gayoh Sang Jati Dusun yang diraikan setiap bulan Mei, acara ini merupakan usaha sama antara Eco Ponies Garden dengan Biro Pelancongan dan Biro Belia di bawah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin, Vil Laju dan Tautani.


Hadir merasmikan acara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, berlangsung di Eco Ponies Garden, Kampung Bang Nukat, di sini.


Juga hadir, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad; Ketua Kampung Lamunin serta Ahli-ahli MPK Lamunin.


Acara diwarnai dengan beberapa persembahan kebudayaan Puak Dusun termasuk pameran daripada organisasi-organisasi belia dan juga bazar komuniti.


Tema 'Reculture' dipilih sebagai usaha menghidupkan semula budaya dan tradisi masyarakat tempatan dengan pendekatan lebih segar dan kreatif, tanpa mengabaikan nilai asalnya.


Tema berkenaan mengetengahkan elemen pesta kampung sekitar tahun 1960-an yang masih dekat dengan kehidupan masyarakat dahulu, sekali gus memberi peluang kepada generasi muda mengenali budaya warisan tempatan dengan lebih mendalam.


Melalui acara ini, pihak penganjur berharap ia dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus menghormati dan menghargai kepelbagaian etnik di Negara Brunei Darussalam.


Penganjur turut melahirkan rasa bangga melihat kerjasama erat dalam kalangan belia daripada etnik Kedayan, Bisaya, Dusun dan Puak Tutong yang bersama-sama berganding bahu sejak awal persiapan acara, termasuk dalam aspek logistik dan perkongsian idea.


Close