Galakkan kesejahteraan pekerja melalui EnduROX Challenge





Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre





JERUDONG, Ahad, 17 Mei. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah menganjurkan pertandingan kecergasan berpasukan pertama melibatkan seluruh syarikat, iaitu The One Fitness : EnduROX Challenge 2026 yang diadakan di Kawasan Kolam Renang JPMC.


Acara ini juga menandakan pelancaran rasmi The One Fitness, sebuah platform baharu yang akan menjadi payung kepada pelbagai aktiviti kecergasan dan kesejahteraan yang akan dianjurkan untuk warga kerja JPMC pada masa hadapan.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang juga merangkap Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.


Dianjurkan di bawah inisiatif Perkhidmatan Pengurusan Sumber Manusia JPMC bagi kesejahteraan pekerja, The One Fitness diperkenalkan sebagai platform baharu untuk menggalakkan gaya hidup lebih sihat serta mengukuhkan hubungan di tempat kerja dalam kalangan pekerja.


Di bawah tonggak kesejahteraan Body : Be Well, inisiatif ini dilancarkan melalui EnduROX Challenge 2026 yang julung kali diadakan dengan tema 'Stronger Together'.


Melalui semangat kerja berpasukan, kerjasama dan persaingan secara sihat, cabaran ini bertujuan untuk menggalakkan kesejahteraan fizikal sambil memupuk hubungan yang lebih erat dalam kalangan warga JPMC, selaras dengan visi negara untuk mencapai 'Kualiti Hidup Tinggi' bagi rakyatnya.


Seramai 120 kakitangan, dibahagikan kepada 30 pasukan, telah mendaftar bagi menyertai EnduROX Challenge yang merangkumi lapan jenis senaman yang perlu diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, termasuk Farmer's Carry, Burpee Broad Jumps, Forward Lunges dan pelbagai aktiviti berasaskan ketahanan fizikal yang lain.


“The One Fitness mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan budaya tempat kerja yang mengutamakan kesejahteraan pekerja, hubungan sesama warga kerja dan daya tahan," ujar Ketua Pegawai Sumber Manusia JPMC, Salehin Basir.


“Melalui inisiatif seperti EnduROX Challenge, kami berharap dapat menggalakkan warga kerja kami untuk saling menyokong, kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat bersama-sama," tambahnya.


Di JPMC, para pekerja bukan sekadar penjaga kesihatan, malah individu yang cekal dalam memikul tanggungjawab menjaga orang lain sambil terus menunjukkan kekuatan, semangat berpasukan dan dedikasi setiap hari.


Melalui inisiatif seperti The One Fitness, JPMC berharap dapat menyediakan ruang untuk para pekerja menyegarkan diri, berhubung antara satu sama lain dan menjadi lebih kuat bersama, baik dari segi fizikal mahupun mental. Turut hadir semasa acara tersebut ialah Ahli-ahli Pasukan Pengurusan Eksekutif dan Pengurusan Kanan JPMC serta warga kerja JPMC.


Close