Berangkat tiba di Berlin bagi Keberangkatan Rasmi





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said





BERLIN, REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN, Ahad, 17 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Berlin bagi mengadakan Keberangkatan Rasmi ke Republik Persekutuan Jerman, pagi tadi.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Berlin Brandenburg dijunjung oleh Acting Chief of Protocol, Kementerian Luar Negeri Republik Persekutuan Jerman, Mr. Volker Timmermann.


Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Republik Persekutuan Jerman, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Krtini binti Pengiran Haji Mohd. Tahir; para pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar NBD di Berlin; rakyat dan penduduk serta para penuntut NBD yang berada di Republik Persekutuan Jerman.


Hubungan diplomatik antara NBD dan Republik Persekutuan Jerman telah terjalin secara rasmi pada 1 Mei 1984. Sepanjang empat dekad yang lalu, kedua-dua buah negara telah membina asas kerjasama yang kukuh berasaskan rasa hormat dan kepentingan bersama.


Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik pada tahun 2024 menandakan satu mercu tanda penting dalam sejarah persahabatan ini, yang merangkumi pelbagai bidang penting termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan dan kesihatan.


Majlis Perjumpaan Kebawah DYMM bersama Tuan Yang Terutama Presiden Republik Persekutuan Jerman pada Isnin, 18 Mei 2026 di Villa Borsig, Berlin akan terus memperkukuh kerjasama dua hala antara NBD dan Republik Persekutuan Jerman.


Close