Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Sabtu, 16 Mei. - Majlis Penerimaan Siswa-siswi Baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi pengambilan kali Ke-4, Sesi Pengajian 2026 hingga 2029 Masihi diadakan pagi tadi di Dewan Kuliah, ITQSHHB, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Bagi sesi pengajian kali ini, seramai 44 orang terdiri daripada 28 siswa dan 16 siswi yang baharu telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat di ITQSHHB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Ahli Lembaga ITQSHHB.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan ITQSHHB, pengetua-pengetua sekolah Arab, ibu bapa, siswa dan siswi yang diraikan serta para pegawai, guru dan kakitangan institut berkenaan.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran 'Qiraat Imam Warsh 'An Nafi'' berserta inti sari ayat yang disampaikan oleh Awang Hassanil Muhtadi Al-Siddiqi bin Drs. Haji Ismuhadi; dan Awang Abdul Hadi Muayyad bin Haji Azrol, siswa Tahun 1 Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Sesi 2026 hingga 2029M ITQSHHB.
Sejurus itu, ucapan alu-aluan daripada Pengetua ITQSHHB, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, diikuti ucapan daripada tetamu kehormat majlis.
Rektor UNISSA, dalam ucapannya mengongsikan ilmu qiraat khususnya di Negara Brunei Darussalam (NBD) semakin hari semakin digemari dan memperlihatkan perkembangan yang sangat positif.
Justeru kata Rektor UNISSA lagi, pihak ITQSHHB sememangnya perlu sangat bersedia menghadapi perkembangan berkenaan dan sentiasa komited untuk memantapkan lagi pengajian qiraat ini mengikut perkembangan semasa.
"Pada hari ini, kita berada dalam satu era yang amat mencabar dan memerlukan penyesuaian yang pantas dalam segenap aspek kehidupan, iaitu era yang dikenali sebagai era digital yang dipacu oleh kemajuan teknologi, khususnya dengan kehadiran Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI).
“Tidak dinafikan lagi, penggunaan AI dalam kalangan belia kini semakin berleluasa. Dari menjadi alat dalam membantu proses pembelajaran dan menghasilkan kandungan kreatif, sehinggalah AI telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian," ujar Rektor UNISSA lagi.
Namun begitu Rektor UNISSA menjelaskan kita harus sedar bahawa setiap teknologi mempunyai dua sisi, iaitu sisi positif dan sisi negatif.
Dari sudut positif tambah Rektor UNISSA lagi, AI akan menjadi satu alat yang bermanfaat jika digunakan dengan bijak dan beretika, dan dari sisi negatifnya, jika AI digunakan untuk tujuan yang tidak sihat, maka ia boleh membawa kepada pelbagai isu seperti penyebaran maklumat palsu, plagiarisme dan seumpamanya.
Justeru Rektor UNISSA menyeru kepada para siswa dan siswi agar tekun mengikuti pengajian yang disediakan oleh ITQSHHB dan bijak menggunakan AI sebagai alat bantu untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan kreativiti, bukan sebagai pengganti peranan dalam kemampuan berfikir dan kreativiti manusia.
“Tidak salah, malah sekarang ini adalah menjadi satu keperluan bagi para pelajar memanfaatkan penggunaan AI dalam membantu proses pembelajaran untuk menjadi lebih efisien dan dalam usaha meningkatkan kreativiti dan produktiviti, tetapi jangan sekali-kali mengabaikan nilai integriti, kejujuran, amanah ilmu, disiplin dan tanggungjawab sebagai seorang siswa dan siswi yang Hafiz dan Hafizah Al-Quran.
“Kerana penggunaan AI ini akhirnya memerlukan pertimbangan dan kebijaksanaan individu dalam mengesahkan maklumat yang diperoleh ini adalah sahih atau sebaliknya. Di sinilah pentingnya para pelajar untuk sentiasa berdamping dan merujuk ulul albab atau guru dalam memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang diperoleh melalui AI atau mana-mana platform teknologi maklumat masa kini," tegas Rektor UNISSA lagi.
Di samping, Rektor UNISSA juga turut menekankan peranan ibu bapa dan pendidik yang amat penting dalam membimbing generasi muda dalam penggunaan teknologi dengan memastikan bahawa kemajuan teknologi hendaklah seiring dengan pembentukan sahsiah yang baik.
Rektor UNISSA turut menganjurkan agar kita bersama-sama memanfaatkan teknologi AI dengan penuh tanggungjawab demi masa depan yang lebih gemilang.
Beliau yakin dengan bimbingan para ibu bapa dan pendidik yang istiqamah, para siswa dan siswi yang diraikan pada hari ini mampu menjadi generasi yang bukan sahaja celik Al-Quran, celik ugama dan celik teknologi, tetapi juga berintegriti tinggi berpandukan nilai-nilai agama dan prinsip negara Melayu Islam Beraja.
Seterusnya, para hadirin menyaksikan tayangan video sebelum diteruskan dengan penyampaian Mushaf Qiraat kepada siswa dan siswi baharu yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan bacaan ikrar oleh siswa dan siswi baharu ITQSHHB Sesi 1447H/2026M yang diketuai oleh Awang Syazwan bin Mohd. Sidek, siswa Tahun 1, Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat institut berkenaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pensyarah Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Dr. Sheikh Haji Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud.