Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Mei. - Bulan Zulhijah yang mana di dalamnya terdapat 10 hari pertama Zulhijah yang merupakan antara hari paling istimewa dalam Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah seperti berzikir, berpuasa sunat, membaca Al-Quran, bersedekah serta melaksanakan ibadah korban.
Turut dikisahkan peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam dan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai teladan agung dalam menghayati nilai ketaatan dan pengorbanan demi menunaikan perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
Peristiwa berkenaan menjadi lambang keikhlasan, keteguhan imam serta pengorbanan yang tinggi dalam kehidupan seorang Muslim. Oleh itu, umat Islam adalah diseru agar merebut keberkatan bulan Zulhijah dengan memperbanyakkan amal kebajikan, meningkatkan keimanan, memperbaiki akhlak serta memperkukuh hubungan sesama insan, selaras dengan tuntutan Islam dalam melahirkan masyarakat yang bertakwa, bersatu padu dan berdaya saing.
Demikian antara perkara yang disentuh di dalam tazkirah bertajuk 'Menyambut Kemuliaan Bulan Zulhijah' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Abdul Khaliq bin Kamree, bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-229 pada malam tadi.
Menyemarakkan acara Malam Munajat minggu ini ialah ahli jawatankuasa takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait dan beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program berkenaan secara maya dari kediaman masing-masing. Atur cara Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Seria, Daerah Belait, Awang Mohammad Zairul Halfi bin Talip, dari Masjid STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait yang bersiaran dari masjid berkenaan.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Awang Mohammad Nur Syakirin bin Ahmad Mahmud, belia dari Masjid STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Imam Masjid STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Awang Mohd. Shahirwandy bin Samsudin.
Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Awang Alhadi bin Zainal Abidin, belia dari Masjid STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dibacakan oleh Bilal Masjid STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait, JHEM, KHEU, Awang Mustaqim bin Haji Mustafa.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut 'http://tiny.cc/munajatkheu'.