Siaran Akhbar dan Foto : Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 15 Mei. - Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, mengucapkan tahniah kepada Watanabe Kazuharu, yang telah dianugerahkan Pingat Kehormatan Negara, iaitu Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) pada Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan NBD baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka telah menganjurkan Majlis Resepsi bagi meraikan pencapaian berkenaan di kediaman Tuan Yang Terutama baru-baru ini dengan kehadiran Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap I, KSSUP, Awang Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi; pegawai-pegawai dari Jabatan Perikanan di KSSUP, serta kakitangan Yamako Pacific.
Watanabe Kazuharu, seorang warga Jepun dan Pengurus Besar Yamako Pacific (B) Sdn. Bhd., telah dianugerahkan PIKB pada 30 April 2026 sebagai pengiktirafan atas dedikasi, integriti dan sumbangan beliau kepada pembangunan NBD melalui penglibatan jangka panjang dalam sektor perikanan.
Pingat berkenaan dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda Ke-79 Tahun.
Pada majlis berkenaan, TYT meraikan pencapaian Watanabe Kazuharu dan menzahirkan rasa gembiranya kerana usaha dan sumbangan Watanabe Kazuharu kepada NBD telah mendapat pengiktirafan sehingga membawa kepada penganugerahan pingat kehormat berkenaan.