Penglibatan menyeluruh semai semangat cintakan raja



​​


Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Mei. - Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 bagi Tahun 2026 Peringkat Daerah Brunei dan Muara berlangsung pagi tadi di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini.


Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, selaku Pengerusi Mesyuarat tersebut dalam ucapannya antara lain mengongsikan empat fokus utama Jawatankuasa Peringkat Daerah Brunei dan Muara bagi Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 iaitu Majlis Menaikkan Bendera di Daerah Brunei dan Muara; Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Peringkat Daerah Brunei dan Muara; Acara-acara sampingan seperti Pentas Malam dan Pertandingan-pertandingan Sempena Hari Keputeraan; dan Gerai-gerai Perayaan dan Pengisian Perekonomian serta Kemasyarakatan.


Tambahnya, fokus perbincangan pada hari ini adalah untuk memastikan keempat-empat bidang utama di peringkat daerah ini dapat dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.


Mengenai Majlis Menaikkan Bendera di Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara berkata, majlis ini adalah simbolik kepada bermulanya suasana perayaan di peringkat daerah, dan ia bukan sekadar upacara menaikkan bendera, bahkan suatu manifestasi rasa cinta kita kepada negara dan institusi beraja di bawah naungan falsafah Melayu Islam Beraja.


“Adalah diharapkan, melalui penglibatan yang menyeluruh ini, Majlis Menaikkan Bendera Peringkat Daerah bukan sahaja berjalan lancar, tetapi benar-benar dapat meniupkan semangat kebangsaan dan kecintaan kepada raja dan negara dalam kalangan rakyat dan penduduk di daerah ini," ujarnya lagi.


Beliau seterusnya mengongsikan mengenai Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Peringkat Daerah Brunei dan Muara, yang mana majlis ini merupakan kemuncak sambutan di peringkat daerah, kerana ia membawa makna yang amat mendalam di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan untuk berangkat bercemar duli, beramah mesra dengan rakyat dan penduduk.


Tambahnya, hasrat 'kitani' ialah untuk memastikan majlis ramah mesra ini menampilkan persembahan padang yang tersusun, menarik dan sarat dengan mesej kesyukuran serta kecintaan kepada raja dan negara, selaras dengan semangat 80 tahun; menggambarkan penyertaan menyeluruh daripada mukim dan kampung, institusi pendidikan, badan-badan bukan kerajaan, belia dan masyarakat setempat; diurus dengan rapi dari segi kehadiran, susun tempat jemputan-jemputan dan duduk, aliran pergerakan peserta, serta keperluan logistik yang lain; dan dijayakan dengan kawalan keselamatan, kesihatan dan kawalan lalu lintas yang berkesan.


Fokus ketiga Jawatankuasa Peringkat Daerah jelasnya, ialah acara-acara sampingan seperti Pentas Malam dan Pertandingan-pertandingan Sempena Hari Keputeraan.


Acara-acara ini katanya, bukan sekadar hiburan, bahkan merupakan wahana penting untuk mengimarahkan suasana perayaan dengan pengisian yang berunsur keagamaan, kebudayaan dan kekeluargaan yang sihat; menjadi platform untuk mencungkil dan menonjolkan bakat belia, pelajar, kumpulan seni, serta komuniti di Daerah Brunei dan Muara; dan menyokong agenda-agenda tertentu, seperti penghayatan tulisan jawi (khat), seni budaya islam, kesedaran sivik dan perpaduan masyarakat.


“Sehubungan itu, peramba/kaola/saya amat berharap agar pengerusi-pengerusi acara sampingan yang akan dilantik nanti dapat merangka kertas cadangan atau kertas kerja bagi setiap acara dengan jelas, termasuk objektif, bentuk pengisian, sasaran peserta, anggaran kos, serta keperluan logistik; dan memastikan bahawa setiap acara sampingan mematuhi garis panduan syarak, menjaga nilai-nilai moral dan etika, serta tidak menjejaskan imej negara dan falsafah Melayu Islam Beraja," tekannya lagi.


Tambahnya, fokus keempat ialah gerai-gerai perayaan dan pengisian ekonomi serta kemasyarakatan, di mana gerai perayaan telah pun menjadi salah satu daya tarikan utama ketika Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan, khususnya di Daerah Brunei dan Muara.


Namun tegasnya, kita ingin memastikan bahawa pelaksanaannya bukan sahaja meriah, malah memberikan manfaat yang luas kepada masyarakat.


Antara perkara yang ditekankan ialah pengagihan tapak gerai yang teratur dan adil, dengan memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga kecil tempatan, termasuk kepada kalangan asnaf dan peserta program-program keusahawanan seperti inisiatif belia dan usahawan mikro; penekanan kepada aspek kebersihan, keselamatan makanan, pengurusan sisa dan susun atur gerai yang kemas dan teratur, agar persekitaran gerai perayaan kekal bersih, selesa dan kondusif; dan penyediaan ruang perniagaan yang mampu menjadi medan pemerkasaan ekonomi masyarakat, di mana peniaga-peniaga kecil dapat meraih manfaat daripada kehadiran orang ramai sepanjang tempoh perayaan.


“Di mesyuarat ini peramba/kaola/saya mengambil ucapan kesempatan untuk merakamkan/menyembahkan menjunjung kasih/terima kasih di atas kerjasama semua ahli jawatankuasa ke arah sama-sama menjayakan acara-acara Majlis Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-79 Tahun pada tahun lepas," ujarnya lagi.


Kejayaan atau kemeriahan suasana sambutan di Daerah Brunei dan Muara menurutnya, tidak syak lagi adalah berkat kerjasama dan kesungguhan semua ahli khususnya pengerusi-pengerusi dalam mempastikan sambutan perayaan berjalan dengan sempurna.


Beliau seterusnya berharap, untuk sambutan 80 tahun ini, mereka semua akan dapat mengekalkan momentum yang baik ini, malah mempertingkatkan lagi mutu perancangan dan pelaksanaan, sejajar dengan kedudukan 80 tahun sebagai satu detik yang istimewa dalam sejarah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Mesyuarat tersebut membincangkan pembubaran dan cadangan perlantikan Jawatankuasa Perayaan dan Pengerusi Bersama Acara-acara Sampingan bagi Sambutan Perayaan pada tahun ini, di samping itu memaklumkan laporan 'post mortem' acara-acara perayaan 2025 yang berlangsung pada tahun lepas.


Selain itu, mesyuarat turut membincangkan Format dan Aturcara Majlis Ramah Mesra Sambutan Perayaan Tahun 2026 Peringkat Daerah Brunei dan Muara.


Close