Sokongan berterusan Huawei terhadap pencapaian aspirasi serta hala tuju NBD



​​


Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman





SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 14 Mei. - Lawatan Rasmi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di Shenzhen diteruskan dengan keberangkatan ke Ibu Pejabat Huawei.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Supervisory Board Member, President of the Public Affairs and Communications Department, Mr. Wang Jianfeng dan Deputy CEO of Huawei International Pte.Ltd., Mr. Du Peng.


Di Lobi Ibu Pejabat Huawei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota mula-mula berkenan menyaksikan persembahan video yang menunjukkan kehadiran Huawei di Negara Brunei Darussalam (NBD) sejak tahun 2003 hingga tahun 2025, termasuk sumbangan kepada kemajuan teknologi negara dalam sektor komunikasi, perhubungan dan pendidikan.


Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke Dewan Pameran Von Neumann dan disembahkan taklimat mengenai pencapaian Huawei. DYTM melihat beberapa pameran berkaitan kerjasama Huawei dengan agensi-agensi kerajaan di NBD.


Ini termasuk gambaran keseluruhan Brunei's Sovereign AI Infrastructure framework, yang menggambarkan bagaimana ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) negara boleh menyokong pertumbuhan ekonomi, tadbir urus, perkhidmatan rakyat dan kemampanan.


Seterusnya, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Huawei untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pengajaran dan pembelajaran dengan menyepadukan teknologi digital termaju ke dalam persekitaran bilik darjah dan kerjasama Huawei Technologies dengan Bank BIBD dalam meningkatkan keupayaan pusat data dan rangkaiannya untuk membina ekosistem perbankan yang lebih selamat, boleh dipercayai dan sedia masa hadapan; dan bagaimana teknologi yang dikuasakan AI boleh menyokong visi Brunei untuk membina sebuah negara yang lebih bijak, cekap dan mengutamakan rakyat.


DYTM juga menyertai Remote Session antara Huawei dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), di mana DYTM telah diperkenalkan kepada para pemenang Anugerah ICT Huawei dari NBD. Seterusnya, DYTM mengadakan perjumpaan dengan Mr. Wang Jianfeng. Dalam perjumpaan tersebut, DYTM menzahirkan penghargaan atas pengaturan yang sangat baik yang dibuat di Dewan Pameran Von Neumann.


Perjumpaan menekankan kepentingan akan sokongan berterusan Huawei terhadap pencapaian aspirasi serta hala tuju NBD ke arah sebuah negara yang berdaya saing berteraskan inovasi, termasuk penglibatan UTB dalam pertandingan ICT Huawei.


Selain itu, CIPTA dan BICTA juga diketengahkan sebagai platform yang mendukung peningkatan inovasi, kreativiti dan pembangunan teknologi dalam kalangan para pelajar di NBD. Seterusnya, DYTM dijunjung menaiki kenderaan autonomi pandu sendiri iaitu Maextro S800, sebuah sedan elektrik mewah yang dilancarkan pada 2025.


DYTM kemudian berangkat meneruskan lawatan ke Huawei Flagship Store. Huawei, yang ditubuhkan pada tahun 1987, diiktiraf atas sumbangannya yang inovatif dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang menyokong pelbagai industri dalam memajukan transformasi digital.


Syarikat ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong objektif Kerajaan Republik Rakyat China untuk membangunkan platform digital bersepadu bagi perkongsian data.


Dalam bidang pendidikan, Huawei telah memperkenalkan pelbagai penyelesaian pintar, termasuk papan hitam pintar dan sistem pembelajaran berasaskan AI yang digunakan di sekolah-sekolah di seluruh China.


Sehingga kini, Huawei terus mempertingkatkan keupayaan teknologinya dalam pembangunan 5G dan 6G yang sedang muncul serta telekomunikasi berasaskan AI dan pembuatan telefon pintar.


Di NBD, Huawei merupakan antara penyedia utama perkhidmatan telekomunikasi sejak tahun 2005. UTB turut menubuhkan Akademi Huawei sebagai platform bagi pembangunan kapasiti, latihan teknikal dan pensijilan profesional. Inisiatif ini dijangka akan terus memperkukuh kebolehpasaran graduan serta meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan dalam bidang teknologi.


06 (3).jpg


07 (2).jpg


08 (2).jpg




Close