Berkenan berangkat ke Ibu Pejabat Leju Robot



​​

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman





SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 14 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Ibu Pejabat Leju Robot di Shenzhen.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Ibu Pejabat Leju Robot dijunjung oleh Founder of Leju Robot, Profesor Leng Xiaokun; Chief Executive Officer (CEO) of Leju Robot, Mr. Chang Lin dan Vice President of Leju Robot, Mr. Zhendong Ke.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota terlebih dahulu menerima taklimat mengenai teknologi robotik canggih Leju Robot serta inovasi dalam automasi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), sebelum menyaksikan demonstrasi robotik di ruang pameran yang mempamerkan aplikasi serta keupayaan terkini robotik pintar.


Leju Robot, yang ditubuhkan pada tahun 2016, merupakan pembangun dan pengeluar robot humanoid bersaiz penuh seperti KUAVO, AELOS dan PANDO. Syarikat ini mempunyai kepakaran khusus dalam bidang pengaturcaraan dan pengekodan, yang boleh menyumbang kepada pengukuhan kemahiran digital serta literasi teknologi dalam kalangan pelajar.


Lawatan ke Ibu Pejabat Leju Robot telah memberi peluang untuk meneliti pendekatan tadbir urus AI, termasuk penerapan teknologi tersebut dalam dasar pendidikan, pembangunan kurikulum pintar serta penggunaan kaedah pembelajaran berasaskan teknologi bagi menyokong keperluan pendidikan masa hadapan.


Close