Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Selasa, 12 Mei. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman menerima kunjungan hormat daripada President of the Australian National Imams Council (ANIC), Shadi Alsuleiman, yang sedang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam (NBD) bermula 11 hingga 12 Mei 2026.
Majlis kunjungan hormat berkenaan diadakan pagi tadi di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke NBD, Tuan Yang Terutama Michael Hoy; dan Setiausaha Kedua di Suruhanjaya Tinggi Australia di Bandar Seri Begawan, Ms. Jenifer Zhao.
Kunjungan hormat berkenaan menjadi wadah bagi bertukar pandangan dan pengalaman, di samping membincangkan peluang kerjasama dalam bidang perkhidmatan ugama.
Dalam hubungan itu, KHEU turut mengemukakan pelbagai potensi kerjasama antaranya program penghantaran imam dari NBD ke masjid-masjid di Australia pada waktu-waktu yang bersesuaian sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala selain memperluas perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pengembangan syiar Islam antara kedua-dua negara.
Kunjungan Shadi Alsuleiman ke negara ini adalah atas tajaan Kerajaan Australia. Lawatan berkenaan juga merupakan susulan kepada kunjungan Australian Socioligist of Religion ke NBD, Dr. Susan Carland, pada 2025.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim; dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim.