Komited memperkukuh kerjasama dalam bidang sukan





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman

 




BEIJING, Selasa, 12 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi berkenan berangkat membuat lawatan ke General Administration for Sports of China (GASC) National Training Centre.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Minister of the General Administration of Sport of China, Tuan Yang Terutama Gao Zhidan.


Pada awal lawatan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota telah mengadakan majlis perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Minister of the General Administration of Sport of China, di mana semasa majlis perjumpaan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia menzahirkan penghargaan kepada Republik Rakyat China atas sokongan berterusan mereka kepada Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam bidang sukan, termasuk latihan wushu oleh jurulatih daripada Republik Rakyat China, dan juga semasa NBD menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9 pada tahun 2024.


DYTM berpuas hati bahawa atlet-atlet wushu Brunei telah mencapai kecemerlangan dalam beberapa pertandingan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Kejohanan Wushu Remaja Dunia, dan mengorak langkah penting dalam industri sukan NBD.


Selain itu, DYTM mengalu-alukan komitmen sama kedua-dua buah negara dalam menubuhkan kem-kem latihan wushu NBD-Republik Rakyat China di bawah pelan-pelan kerjasama dua hala The Belt and Road Initiative (BRI) yang telah ditandatangani pada tahun 2025, bagi memperkembangkan kerjasama di bawah bidang tersebut.


Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Sukan yang juga telah ditandatangani semasa Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China pada tahun 2025, telah memberikan asas yang kukuh dalam bidang yang penting ini.


DYTM, dalam sabda, menyatakan bahawa terdapat potensi yang besar untuk pembangunan kerjasama sukan antara NBD dan Republik Rakyat China, dan menzahirkan hasrat Brunei untuk mengetahui lebih lanjut tentang pendekatan inovatif Republik Rakyat China dalam memupuk bakat atlet.


Selepas Majlis Perjumpaan, DYTM mengadakan lawatan ke Kompleks Kolam Renang Tertutup dan National Team Performance Centre di mana DYTM disembahkan penerangan mengenai latihan-latihan khusus menggunakan kepelbagaian teknologi dalam meningkatkan kemahiran atlet-atlet Republik Rakyat China.


DYTM seterusnya berangkat ke Dewan Sukan dan disembahkan dengan persembahan wushu daripada penuntut-penuntut daripada Beijing Sports University.


GASC ditubuhkan pada tahun 1998 dan merupakan sebuah agensi bertaraf kementerian di bawah State Council, Republik Rakyat China yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pentadbiran sukan, termasuk menyelia All-China Sports Federation dan Jawatankuasa Olimpik China serta memainkan peranan penting dalam membangunkan atlet-atlet olimpik di negara tersebut.



Close