Terus meningkatkan kerjasama hal ehwal politik, ekonomi, sosiobudaya





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman





BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Selasa, 12 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan bersama Naib Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Han Zheng.


Majlis Perjumpaan berkenaan diadakan di Diaoyutai State Guesthouse.


Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda mengimbas kembali Lawatan Rasmi Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam (NBD) pada 2024.


Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, NBD dan Republik Rakyat China berkongsi hubungan yang berkekalan, disokong oleh kerjasama yang sangat baik dalam pelbagai bidang yang terus membawa manfaat ketara dan kemakmuran kepada kedua-dua buah negara.


Tahun ini menandakan Ulang Tahun Ke-35 hubungan diplomatik, dan DYTM menzahirkan rasa puas hati kerana kedua-dua negara terus meningkatkan kerjasama dalam hal ehwal politik, ekonomi dan sosiobudaya.


DYTM juga mengiktiraf usaha gigih Kerajaan Republik Rakyat China dalam transformasi luar biasa Republik Rakyat China selama ini.


Bagaimanapun, memandangkan ketidaktentuan geopolitik semasa, DYTM bersabda menggariskan keperluan untuk kedua-dua buah negara memperkukuh kerjasama bagi menjaga kepentingan bersama dan memastikan pembangunan ekonomi yang berterusan.


Selain menyatakan kesediaan NBD untuk meningkatkan lagi kerjasama yang sedia ada antara kedua-dua buah negara, DYTM juga bersabda bahawa, memandangkan tahun ini menandakan Ulang Tahun Ke-5 Comprehensive Strategic Partnership, NBD amat menghargai komitmen teguh Republik Rakyat China untuk mempromosi keselamatan, kemakmuran dan pembangunan di rantau ini.


Selepas Majlis Perjumpaan berkenaan, DYTM berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh TYT Naib Presiden Republik Rakyat China di Diaoyutai State Guesthouse.


Close