Berkenan mengurniakan Surat Watikah Pelantikan, menerima Surat Tauliah Pelantikan



​​


Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang baharu dilantik dan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan ke NBD yang baharu.


Majlis yang berlangsung di  Balai Singgahsana Indera Kenchana,  Istana Nurul Iman, di sini, menyaksikan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Awang Haji Abdu'r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Belgium, Tuan Yang Terutama Awang Mohammad Shafiee bin Haji Kassim; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Awang Haji Khairur Rizal bin Haji Abdul Majid; dan Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Australia, Puan Yang Terutama Dayangku Nooraslena binti Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan  daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke NBD, Tuan Yang Terutama Abdulla Hamad A.A. Al-Marri; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Saleh A.M. Alshiha; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke NBD, Tuan Yang Terutama Akrapong Chalermnon; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke NBD, Tuan Yang Terutama Nawaf Fahad Alsaied.


Selepas Majlis Mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan dan Majlis Menyembahkan Surat-surat Tauliah Pelantikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan NBD yang baharu dilantik serta Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD yang baharu di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.


Turut hadir pada majlis-majilis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Awang Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Awang Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd. Taib; dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali selaku Pemangku Grand Chamberlain.



















 


 




​​

Close