Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman, Muhammad Ali Norhadi Abdullah Mohammad Noh, Penempatan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali di Bahagian Pelita Brunei / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas
KAMPUNG MATA-MATA, Isnin, 11 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Sekolah Sinar Matahari (Sunshine School), di sini.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Pada lawatan tersebut, para pelajar serta warga sekolah tidak melepaskan peluang menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Keberangkatan Kebawah DYMM itu juga memberikan peluang dan kesempatan untuk mereka bersua muka secara langsung bersama raja yang dikasihi, seterusnya menjunjung ziarah Kehadapan Majlis baginda serta kerabat diraja.
Sebelum berangkat meninggalkan sekolah tersebut, Kebawah DYMM berkenan dijunjung bergambar ramai bersama warga sekolah dan berkenan menandatangani Lembaran Kenangan.
Sekolah Sinar Matahari pada masa ini memiliki seramai 657 orang pelajar dari peringkat Tadika hingga Tahun 6 dan juga seramai 30 orang tenaga pengajar.
Visi sekolah tersebut ialah 'To Become The Well-Recognized International School in Brunei Darussalam' dan misinya ialah 'To Keep The Flames of Knowledge Alive And Burning In Our Community Of Learners, We Commit To Provide Valuable Learning Experience, Quality Education, Hollistic Curriculum, Values Formation, Strong Faith And Culture In A Safe And Happy Learning Environment.'
Antara kemudahan yang ada di sekolah tersebut ialah surau, dewan serbaguna, bilik komputer, makmal sains, perpustakaan, gelanggang badminton dan taman permainan untuk pembelajaran dan perkembangan motor pelajar.
