Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad
TUTONG, Ahad, 10 Mei. - Program Kayuhan Berbasikal sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42 bagi Daerah Tutong diadakan awal pagi tadi bertempat di Kawasan Lapang Sekolah Rendah Kampung Bukit Udal (SRKBU), di sini.
Program anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat, di samping memperkukuhkan perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung.
Selain itu, program berkenaan juga bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal secara berterusan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang turut menyempurnakan pelepasan peserta Kategori 42 Kilometer yang bermula dan berakhir di kawasan lapang SRKBU.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong; pegawai dan kakitangan kerajaan, Ahli MPK dan penduduk sekitarnya.
Manakala pelepasan peserta Kategori 13 Kilometer yang juga bermula dan berakhir di kawasan lapang SRKBU itu disempurnakan oleh Penghulu Mukim Tanjong Maya, Tutong.
Program berkenaan diharap akan terus menjadi platform tahunan dalam menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti sihat dan kemasyarakatan, selaras dengan usaha membentuk komuniti yang cergas, bersatu padu dan berdaya tahan.