Pesta Bedudun Versi 2 tutup tirai



Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad






BELAIT, Ahad, 10 Mei. - Pesta Bedudun Versi 2 yang diadakan selama lima hari kini berakhir hari ini.


Pesta Bedudun anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Perumahan Negara Lumut Kawasan 1, 2 dan 3 atas sokongan Kelab Rekreasi Liang Lumut itu berlangsung di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), di sini.


Hadir selaku tetamu hormat pada acara kemuncak pesta tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Penasihat Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera Brunei Darussalam yang menyempurnakan pelancaran tiga acara pertandingan semasa Pesta Bedudun Versi 2 iaitu Pertandingan Futsal Lima Orang Sepasukan, Pertandingan Memancing dan Pertandingan Kicauan Burung Murai Batu.


Dengan kejayaan penganjuran acara itu bukanlah hasil usaha individu semata-mata tetapi merupakan hasil kerjasama erat, semangat perpaduan serta komitmen berpasukan daripada pelbagai pihak dan semangat kebersamaan dan memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.


Pesta Bedudun tersebut bukan sekadar sebuah acara keramaian, malah merupakan platform yang signifikan dalam mengetengahkan budaya, warisan, tradisi serta identiti masyarakat tempatan.


Pesta tersebut bukan sahaja menghimpunkan masyarakat setempat, bahkan turut menjadi daya tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan budaya serta kehidupan komuniti di kawasan ini.


Sepanjang penganjurannya, pelbagai aktiviti menarik telah disusun, termasuk pertandingan rakyat, pameran, jualan oleh usahawan tempatan, persembahan kebudayaan, hiburan keluarga serta pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan.


Inisiatif seperti ini amat bertepatan dalam usaha menghidupkan suasana komuniti yang aktif, progresif dan bersatu padu. Di samping itu, ia juga membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat serta menyokong usaha memperkasa pelancongan domestik di Negara Brunei Darussalam.


Sebagai sebuah acara berteraskan komuniti, Pesta Bedudun turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan potensi kawasan Mukim Liang sebagai destinasi yang aktif, kaya dengan warisan budaya serta berpotensi untuk terus berkembang sebagai tarikan pelancongan tempatan.


Close