UNISSA tersenarai 500 terbaik WURI 2026





Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mei. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sekali lagi melakar kegemilangan di persada global apabila berjaya melonjak ke kedudukan 147 dunia dalam The World University Rankings for Innovation (WURI) 2026, sekali gus menempatkannya dalam kelompok 500 universiti paling inovatif di dunia.


Keputusan berkenaan telah diumumkan pada 7 Mei 2026 lalu, dalam acara 6th HLU Annual Conference & WURI Global Rankings 2026 di sebuah universiti terkemuka.


Pencapaian luar biasa berkenaan menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya apabila UNISSA berada di kedudukan 201 dunia dalam WURI 2025.


Lonjakan sebanyak 54 anak tangga dalam tempoh hanya setahun membuktikan keupayaan UNISSA untuk terus memacu budaya inovasi, penyelidikan berimpak tinggi dan transformasi pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.


Dalam penilaian WURI 2026 kali ini, UNISSA telah mencatat pencapaian cemerlang dalam beberapa kategori utama, antaranya kedudukan ke-29 bagi Kategori Industrial Application; kedudukan ke-44 bagi Kategori Inclusive Social Innovation for the Underserved; kedudukan ke-79 bagi Kategori Representative Research Project; dan kedudukan ke-82 bagi Kategori AI-Based Teaching and Learning Transformation.


Ini memperlihatkan pengiktirafan dunia terhadap komitmen UNISSA dalam mengintegrasikan inovasi, Kecerdasan Buatan (AI), penyelidikan berkualiti dan pembangunan masyarakat secara inklusif dalam ekosistem pendidikan tinggi Islam.


Lebih membanggakan, pencapaian berkenaan membuktikan bahawa sebuah universiti Islam tulen dari Negara Brunei Darussalam mampu berdiri sebaris dengan universiti-universiti terkemuka dunia dalam aspek inovasi, aplikasi industri dan transformasi pendidikan masa hadapan.


Selain itu, ia juga menjadi manifestasi kepada visi UNISSA dalam melahirkan generasi Khayra Ummah yang berdaya saing, progresif dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat sejagat.


Justeru, pencapaian berprestij berkenaan dijangka akan terus memperkukuh lagi reputasi antarabangsa UNISSA sebagai pusat kecemerlangan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang semakin berpengaruh di peringkat serantau dan global.


Close