Pengiktirafan atas usaha, pengorbanan pelajar dalam capai kecemerlangan akademik



​​


Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Abdul Muaz Razali





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mei. - Kejayaan para pelajar tidak akan tercapai tanpa ada pengorbanan dan kerja keras para guru yang sentiasa membimbing dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.


Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Dayang Hajah Rosiah binti Haji Gharif menyatakan demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Peperiksaan BCGCE 'O' Level dan IGCSE Tahun 2025 bagi para pelajar sekolah berkenaan hari ini.


Menurut Dayang Hajah Rosiah lagi, tanpa jasa guru-guru, kecemerlangan para pelajar tidak akan terhasil dan ini jelas terbukti apabila Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab sekali lagi telah berjaya menunjukkan peningkatan peratus 5 'O' Level ke atas sebanyak 2.6 peratus, iaitu dari 36.1 peratus pada 2024 kepada 38.7 peratus pada 2025.


Alhamdulillah, tambahnya, pada tahun ini Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab telah diberikan anugerah insentif sebanyak BND2,000 oleh Kementerian Pendidikan semasa Konvensyen Pemimpin Sekolah Ke-8 yang berlangsung pada 6 Mei 2026 atas peningkatan tiga tahun berturut-turut.


"Majlis pada hari ini bukan hanya merayakan para pelajar tetapi juga kepada guru-guru Tahun 11 yang banyak menaburkan jasa bakti dalam melakar kejayaan ini.


“Untuk makluman bersama, sebanyak empat mata pelajaran telah mencapai 100 peratus kredit, iaitu Computer Science, Additional Mathematics, Information and Communication Technology atau lebih dikenali ICT, dan Art and Design.


"Sementara itu sebanyak enam mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara berbanding 2024, iaitu subjek English 'O' Level, Mathematics D, Physics, Chemistry, Combined Science dan Food and Nutrition (F&N)," katanya pada majlis yang berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan.


Terdahulu, pengetua sekolah berkenaan berkata, hari ini merupakan satu detik yang amat bermakna bagi pelajar-pelajar yang diraikan. Majlis ini bukan sekadar acara penyampaian sijil dan anugerah, tetapi juga sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha, pengorbanan, disiplin dan kesungguhan para pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik.


Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan BCGCE 'O' Level dan IGCSE 2025.


"Kejayaan ini bukan datang secara kebetulan, tetapi hasil daripada komitmen yang berterusan, ketabahan menghadapi cabaran, serta semangat untuk terus maju.


"Dengan tulus ikhlas saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada guru-guru berkenaan. Sesungguhnya penghargaan yang diberikan hari ini tidaklah setanding dengan penat lelah dan jasa bakti biskita wahai guru.


“Semoga tunjuk ajar yang dicurahkan mendapat ganjaran pahala yang setimpal di sisi Allah Subhanahu Wata'ala," ujarnya lagi.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Ketua Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Nisah binti Haji Gharif.


Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, timbalan-timbalan pengetua, penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai dari JSS, para jemputan, guru-guru, para ibu bapa pelajar.


Majlis kali ini menyaksikan Anugerah Pelajar Cemerlang (Keseluruhan) yang dinobatkan kepada Dayang Nurhana Aqilah binti Saiful Bahrin dari Kelas 11SC1 yang menerima sebuah piala, wang tunai dan sijil.


Bukan itu sahaja, Dayang Nurhana Aqilah juga menerima anugerah memperoleh sembilan 'O' level dan menerima sebuah piala dan sijil; anugerah bagi memperoleh kredit dalam semua subjek dengan menerima wang tunai dan sijil; anugerah bagi mendapat 'A*' dan 'A', penuntut memperoleh 2 'A*' bagi mata pelajaran Geography dan Pengetahuan Ugama Islam (IRK), 5 'A' bagi mata Pelajaran Bahasa Melayu, Biology, Chemistry, Physics dan Mathematics D, anugerah mendapat 'A*' dengan menerima wang tunai dan sijil; penerima anugerah yang mendapat 'A' dengan menerima wang tunai dan sijil; anugerah bagi pelajar anak yatim yang berjaya memperoleh lima 'O' Level ke atas dengan menerima wang tunai dan sijil; serta anugerah pencapaian akademik tajaan Insurance Islam TAIB General Takaful Sendirian Berhad.


Manakala seramai 43 pelajar memperoleh lima 'O' Level hingga sembilan 'O' level, 10 pelajar memperoleh kredit dalam semua subjek, dua pelajar anak yatim yang memperoleh lima 'O' Level ke atas, dan enam pelajar bantuan yang memperoleh lima 'O' level ke atas turut menerima hadiah masing-masing.


Di samping itu juga pihak sekolah memberikan insentif kepada 23 pelajar yang memperoleh 'A*' dan 'A' dalam subjek-subjek tertentu.


Pencapaian berkenaan juga tidak akan terlaksana tanpa sokongan padu daripada ibu bapa dan penjaga yang mana mereka ini sentiasa menjadi tulang belakang kepada anak-anak dalam memberikan dorongan, doa dan pengorbanan yang tidak ternilai.


Selain itu, kejayaan para pelajar tidak akan tercapai tanpa ada pengorbanan dan kerja keras para guru yang sentiasa membimbing dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.


Close