BFI-UNISSA memperkukuh kerjasama strategik sektor industri, akademik



​​

Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





GADONG, Khamis, 7 Mei. - Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara sektor industri dan akademik.


Majlis Penandatanganan berkenaan berlangsung di Kampus Gadong, UNISSA, hari ini.


MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dr. Harri Kiiski bagi mewakili BFI. Manakala UNISSA diwakili oleh Rektornya, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua pihak akan memperkukuh sinergi melalui pelaksanaan penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, penerbitan ilmiah serta pertukaran sumber berkaitan, sekali gus mempererat hubungan antara pembelajaran akademik dan amalan industri.


Para pelajar dan penyelidik juga akan mendapat pendedahan lebih menyeluruh terhadap operasi industri sebenar serta pengalaman dalam persekitaran kerja profesional.


Inisiatif berkenaan akan membantu mereka membina kemahiran dan kompetensi yang relevan dengan kehendak industri seiring dengan kecemerlangan akademik.


Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.


Pada masa yang sama, MoU berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BFI dalam memperkasa bakat tempatan serta menyokong pembangunan modal insan Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui kerjasama bermakna bersama institusi pengajian tinggi.


Bagi UNISSA pula, hubungan strategik berkenaan akan memperkukuh keupayaan akademik dan penyelidikannya melalui penglibatan lebih rapat dengan sektor industri, seterusnya menghasilkan impak pembelajaran yang lebih relevan dan bernilai tinggi.


Kedua-dua pihak turut melihat potensi besar untuk memperluaskan kerjasama berkenaan ke bidang lain yang berkepentingan pada masa akan datang.


MoU berkenaan menyediakan rangka kerja yang kukuh untuk meneroka peluang baharu dalam menyokong inovasi, pembangunan ilmu dan pertumbuhan negara yang mampan.


Pemeteraian MoU berkenaan mencerminkan visi bersama BFI dan UNISSA dalam memperkukuh hubungan antara industri dan akademik, di samping menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi NBD secara berterusan.


Close