Memastikan PA kekal relevan, berdaya saing, memenuhi keperluan negara



​​

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Mei. – Ketiga-tiga Program Pembangunan Kepimpinan, iaitu Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO), Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO), dan Program Eksekutif Muda (YEP) mempunyai sinergi kepimpinannya yang tersendiri.


Pegawai muda membawa tenaga, idea dan perspektif baharu; pegawai peringkat pertengahan pula memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelaksanaan dasar serta menyelaras operasi organisasi sesuai dengan pendedahan, pengalaman dan pengetahuan diperoleh dan dilaburkan di dalam perkhidmatan.


Manakala, pegawai kanan di peringkat ketua atau timbalan ketua jabatan adalah bertanggungjawab bagi menentukan arah strategik serta memastikan dasar dan inisiatif Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilaksanakan dengan efisien dan berkesan.


Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort 32, Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kohort 36, Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort 10 bagi Tahun Kewangan 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini.


Jelas Yang Berhormat lagi, gabungan kekuatan tiga generasi kepimpinan ini amat penting dalam memastikan Perkhidmatan Awam (PA) terus kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan negara dengan cabaran-cabaran yang semakin kompleks.


Tambah Yang Berhormat, kepimpinan dalam PA bukan sekadar berkaitan jawatan atau kedudukan. Ia merupakan satu amanah besar untuk memimpin perubahan, membimbing warga organisasi, serta memastikan setiap dasar dan perkhidmatan kerajaan memberi manfaat yang sebenar dan berpanjangan kepada rakyat dan negara.


Dalam konteks Negara Brunei Darussalam (NBD) jelas Yang Berhormat, amanah kepimpinan berkenaan juga perlu dilaksanakan berlandaskan nilai-nilai Islam dan prinsip Maqasid Syariah, iaitu memastikan setiap usaha pembangunan negara sentiasa memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.


Prinsip berkenaan kata Yang Berhormat, menekankan bahawa setiap dasar, perkhidmatan dan keputusan pentadbiran hendaklah menjurus kepada kesejahteraan masyarakat serta kemaslahatan negara secara menyeluruh.


Seiring dengan itu ujar Yang Berhormat, negara kita kini semakin hampir melangkah ke arah Wawasan Brunei 2035, yang menyasarkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kualiti kehidupan yang tinggi, serta ekonomi yang dinamik dan mampan.


Dalam usaha mencapai wawasan berkenaan tegas Yang Berhormat lagi, PA memainkan peranan yang amat penting sebagai jentera penggerak utama dasar dan pelaksanaan pembangunan negara.


Tambah Yang Berhormat, semua berkenaan menuntut sebuah PA yang cekap, responsif, berorientasikan rakyat dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa sambil mengekalkan nilai-nilai teras Islam dan prinsip Maqasid Syariah.


Terdahulu itu, Yang Berhormat dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Perkhidmatan Awam (IPA) atas komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan dalam PA melalui program seperti EDPSGO, EDPMMO dan YEP.


Menurut Yang Berhormat lagi, program-program berkenaan merupakan usaha strategik kerajaan untuk memastikan PA sentiasa mempunyai barisan pemimpin yang kompeten, berintegriti dan berpandangan jauh.


“Pada kesempatan ini, peramba / saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan program masing-masing. Pada hari ini kita meraikan para peserta daripada tiga peringkat kepimpinan dalam PA, iaitu pegawai kanan kerajaan, pegawai pengurusan pertengahan dan pegawai eksekutif muda.


“Ketiga-tiga peringkat ini bukan sahaja mencerminkan perkembangan kerjaya dalam PA, malah melambangkan kesinambungan kepimpinan yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negara pada masa hadapan," ujar Yang Berhormat lagi.


Close