Rombongan terakhir bakal jemaah haji negara bertolak



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Khamis, 7 Mei. - Penerbangan keempat bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) bertolak meninggalkan negara ini pada pukul 11.57 pagi tadi (waktu NBD) dengan menggunakan pesawat Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI4207 dan dijangka tiba di Madinah Al-Munawwarah pada pukul 5.15 petang waktu Madinah.


Jumlah keseluruhan bakal jemaah haji termasuk para Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan), Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) dan Balurih Travel Sdn. Bhd. ialah seramai 240 orang.


Daripada jumlah berkenaan, Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) seramai tiga orang, manakala DSSB seramai 95 lelaki termasuk dua pegawai syarikat dan 115 orang perempuan termasuk seorang pegawai syarikat dengan jumlah 210 orang.


Sementara Balurih Travel Sdn. Bhd. pula seramai 27 orang terdiri daripada 14 lelaki termasuk seorang pegawai syarikat dan 13 perempuan termasuk seorang pegawai syarikat dan dua orang pegawai perubatan.


Mengiringi bakal-bakal jemaah haji bagi penerbangan keempat kali ini ialah Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), Pegawai DSSB dan Pegawai Syarikat Balurih Travel Sdn. Bhd.


Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada bakal-bakal jemaah haji NBD ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Datin.


Turut berangkat dan hadir, Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan isteri dan bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha.


Juga hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri.


Seterusnya, juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan isteri serta ahli jemaah penasihat haji, pengarah-pengarah dan para Pegawai Kanan KHEU.


Doa Selamat dibacakan oleh Imam Tingkat III, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.


Manakala azan dilaungkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop.


Close