Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
CEBU CITY, REPUBLIK FILIPINA, Khamis, 7 Mei. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat ke Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA, yang berlangsung di Shangri-La Mactan Resort, Cebu.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Pada Sidang Kemuncak Khas berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah menekankan ketidaktentuan global semasa mempengaruhi pasaran tenaga, rangkaian bekalan dan sistem makanan.
BIMP-EAGA mempunyai potensi yang besar, memandangkan kekayaan sumber aslinya yang kaya serta kapasiti pertanian, untuk menyumbang kepada kestabilan serantau dan sekuriti makanan.
Oleh itu, baginda menegaskan keperluan untuk memperdalamkan kerjasama dan meningkatkan integrasi serantau, khususnya dalam bidang makanan, tenaga, kesalinghubungan dan logistik.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan kerjasama tenaga sebagai satu keutamaan, termasuk usaha untuk menaik taraf dan menghubungkan grid tenaga di kawasan luar bandar dan terpencil.
Ia juga penting untuk merapatkan jurang digital melalui peluasan kesalinghubungan jalur lebar bagi meningkatkan akses pasaran, mempertingkatkan kecekapan dan memacu inovasi dalam ekonomi luar bandar.
Sehubungan itu, baginda menggalakkan pengoptimuman koridor ekonomi yang direka bentuk semula bagi menarik pelaburan dalam sektor makanan dan tenaga serta memperkukuhkan peranan BIMP-EAGA sebagai sumber barangan dan perkhidmatan penting yang boleh dipercayai.
Dalam mengakhiri titah, Kebawah DYMM menegaskan semula sokongan terhadap Wawasan BIMP-EAGA 2035 sebagai rangka kerja bagi pertumbuhan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan, serta menekankan kepentingan penubuhan sebuah sekretariat yang beroperasi sepenuhnya bagi memastikan penyelarasan yang berkesan serta pelaksanaan komitmen yang tepat pada masanya.
Pada penghujung Sidang Kemuncak Khas tersebut, Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Khas Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) 2026 telah diluluskan.