Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
CEBU, REPUBLIK FILIPINA, Khamis, 7 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Lê Minh Hung.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama atas pelantikannya sebagai perdana menteri, dan mengalu-alukan kerjasama erat bersama TYT bagi mengukuhkan persahabatan dan hubungan muhibah antara kedua-dua buah negara, yang terus mempunyai kerjasama baik dalam bidang perdagangan, tenaga, dan hubungan antara rakyat.
Baginda turut mengimbas kembali Keberangkatan Negara baginda ke Republik Sosialis Viet Nam tahun lalu, serta perbincangan yang produktif bersama Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama To Lam, ketika beliau menjawat jawatan Setiausaha Agung Parti Komunis, dalam memajukan Perkongsian Komprehensif.
Berikutan situasi geopolitik yang semakin kompleks, Kebawah DYMM juga bertitah bahawa adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam menyokong antara satu sama lain, serta memelihara keselamatan dan kemakmuran kedua-dua buah negara.
Dengan mengambil maklum bahawa Republik Sosialis Viet Nam selaku rakan kongsi tenaga yang utama, Kebawah DYMM bertitah menzahirkan penghargaan atas usaha sama yang telah dilaksanakan selama ini, dan menyambut baik hasrat Republik Sosialis Viet Nam untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor minyak dan gas, termasuk dalam pembekalan bahan api Jet A-1 bagi membantu memenuhi keperluannya.
Tambahan lagi, baginda bertitah turut mencadangkan agar sektor swasta dari kedua-dua buah negara mengadakan perbincangan bagi meneroka sektor tersebut dengan lebih lanjut.
Sementara itu, dalam bidang-bidang kerjasama yang lain, Kebawah DYMM bertitah mengalu-alukan lebih banyak hubungan antara perniagaan dalam industri agrimakanan ke arah mencapai sasaran perdagangan baharu sebanyak USD1 bilion menjelang 2030. Perkembangan di Teluk Parsi telah memberi kesan buruk kepada ketenteraman global dan mengganggu rantaian bekalan tenaga.
Ke arah itu, Kebawah DYMM bertitah menegaskan semula bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) komited untuk bekerjasama rapat dengan Negara-negara Anggota ASEAN dalam mempertahankan sistem pelbagai hala yang terbuka, inklusif, dan berasaskan peraturan, yang akan kekal sebagai kunci kepada memastikan kestabilan dan kemakmuran jangka panjang.
Mengenai situasi di Republik Kesatuan Myanmar, baginda bertitah menyatakan bahawa NBD akan terus menyokong Republik Kesatuan Myanmar dalam melaksanakan Five-Point Consensus, yang dipimpin dan dimiliki oleh Republik Kesatuan Myanmar.
Mengakhiri titah, Kebawah DYMM mengundang TYT bagi mengadakan lawatan ke NBD, serta menyatakan sokongan penuh NBD terhadap Republik Sosialis Viet Nam selaku Pengerusi APEC pada 2027 dan menyampaikan ucapan selamat maju jaya dalam persiapan APEC nanti.