Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BELAIT, Selasa, 5 Mei. - Delegasi dari Republik Demokratik Timor-Leste mengadakan Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Brunei Liquefied Natural Gas Sendirian Berhad (LNG), Lumut, di sini, petang tadi.
Delegasi diketuai oleh Naib Perdana Menteri, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay dan Naib Perdana Menteri, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Komuniti, Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Mariano Assanami Sabino.
Terdahulu sejurus tiba di pekarangan Ibu Pejabat Brunei LNG, delegasi tersebut dialu-alukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Terdahulu sebelum lawatan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Brunei LNG, Niels Dijksman menyampaikan ucapan alu-aluan dan seterusnya para delegasi dibawa melawat bagi Plant Tour dan menyaksikan sendiri bagaimana LNG dihasilkan dan dihantar. Lawatan diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati.
Juga hadir, Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah dan pegawai dan kakitangan kerajaan.
Brunei LNG telah ditubuhkan lebih 50 tahun yang lalu pada 9 Disember 1969, sebagai projek LNG pertama di rantau Pasifik Barat yang memulakan pencairan gas asli berskala besar sehingga hari ini dan kini merupakan Loji LNG yang paling lama beroperasi di dunia.
Brunei LNG menghasilkan dan menghantar LNG. Gas asli ialah bahan api fosil paling bersih, bersedia untuk mengatasi batu arang sebagai sumber tenaga kedua terbesar di dunia.