Dialog perniagaan perkukuh perkongsian, kembangkan pasaran serantau





Oleh : Pg. Syi'aruddin bin Pg. Dauddin / Foto : Azmah Haji Ahad




 

JERUDONG, Selasa, 5 Mei. - Kerjasama ekonomi antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Demokratik Timor-Leste terus diperkukuh menerusi Sesi Dialog Perniagaan Republik Demokratik Timor-Leste yang berlangsung pagi tadi di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.


Hadir pada sesi berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Atur cara diisikan dengan alu-aluan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres yang antara lain menekankan bahawa sesi ini adalah merupakan kesinambungan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste yang berjaya memperkukuh hubungan dua hala.


Manakala, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dalam ucapannya menekankan bahawa NBD mengalu-alukan keanggotaan Republik Demokratik Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN yang Ke-11.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa kemasukan Republik Demokratik Timor-Leste merupakan satu mercu tanda yang mengukuhkan rantau ini dan membuka laluan baharu untuk kerjasama.


Bagi NBD, terang Yang Berhormat lagi, ini memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperdalam perkongsian, mengembangkan pasaran dan melibatkan diri dengan lebih bermakna dalam rantaian nilai serantau.


Yang Berhormat turut mengingatkan bahawa hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin erat sejak 2002, dan diperkukuh lagi menerusi lawatan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste pada Mei 2024.


Acara kemudiannya diteruskan dengan tayangan video bertajuk 'Opportunities in Timor Leste', diikuti dengan video mengenai minyak dan gas Republik Demokratik Timor-Leste, serta video 'Invest in Brunei'.


Sesi perbincangan bagi mengenal pasti peluang kerjasama antara NBD dan Republik Demokratik Timor-Leste yang dipengerusikan oleh Allen Lai turut menampilkan pembentangan ringkas mengenai peluang dalam sektor minyak dan gas, kesihatan dan pelancongan di Republik Demokratik Timor-Leste, serta peluang pelaburan dan perniagaan di Brunei.


Acara diakhiri dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Stratacom Global dan Naib Perdana Menteri , Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay, meliputi dua MoU iaitu dalam sektor kesihatan serta pembangunan dan kerjasama.


Close