Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Selasa, 5 Mei. - Penerbangan Kedua Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi telah bertolak meninggalkan negara ini pada pukul 12.06 tengah hari (waktu Brunei) dengan menggunakan pesawat Diraja Brunei (RB) BI4203 dan dijangka tiba di Madinah Al-Munawwarah pada pukul 5.15 petang waktu tempatan (waktu Madinah).
Jumlah keseluruhan bakal jemaah haji termasuk para pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan) serta syarikat-syarikat pengendali haji ialah seramai 254 orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 112 orang adalah jemaah haji lelaki termasuk enam pegawai syarikat pengendali haji dan sorang pegawai perubatan.
Manakala 142 orang adalah jemaah haji perempuan termasuk dua orang pegawai perubatan.
Bagi pecahan jumlah bakal jemaah haji, Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) menghantar tiga orang pegawai terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan.
Sementara itu, Darussalam Services Sendirian Berhad (DSSB) membawa seramai 75 orang terdiri daripada 32 lelaki dan 43 perempuan termasuk dua pegawai syarikat.
Syarikat Dar El Ehsan Travel Sendirian Berhad pula membawa seramai 127 orang terdiri daripada 56 lelaki dan 71 perempuan termasuk tiga pegawai syarikat.
Sementara itu, Syarikat Titian Travel and Tours Sendirian Berhad membawa seramai 49 orang terdiri daripada 23 lelaki dan 26 perempuan termasuk seorang pegawai syarikat.
Mengiringi bakal-bakal jemaah haji bagi penerbangan kedua ini ialah pegawai-pegawai daripada Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), DSSB, Syarikat Dar El Ehsan Travel Sendirian Berhad dan Syarikat Titian Travel and Tours Sendirian Berhad.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada bakal-bakal jemaah haji ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, dan isteri; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, dan isteri; serta Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, dan isteri; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, dan isteri; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Norfarizal bin Othman; serta Ahli Jemaah Penasihat Haji, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU.
Doa Selamat dibacakan oleh imam Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.
Manakala azan dilaungkan oleh Imam Tingkat III, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Haji Hamdini bin Haji Garif.