Kebawah DYMM akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Jabatan Penerangan





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Mei. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan pada 7 hingga 8 Mei 2026 di Cebu City, Republik Filipina.


Republik Filipina, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, dengan tema 'Navigating Our Future, Together' mencerminkan komitmen Republik Filipina untuk menerajui ASEAN dengan bersepakat, jelas dan bermatlamat dengan tujuan untuk membina rantau Asia Tenggara lebih berdaya tahan dan saling terhubung secara mendalam, mengutamakan kemajuan yang bermakna dan berfokuskan rakyat.


Sidang Kemuncak tersebut akan memajukan perbincangan mengenai tiga tonggak Komuniti ASEAN berpandukan keutamaan strategik di bawah kepimpinan Republik Filipina iaitu tunjang keamanan dan keselamatan; koridor kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.


Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA juga akan diadakan pada atur cara sampingan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 yang akan melancarkan dokumen Visi BIMP-EAGA 2035 (BEV 2035), yang antara lain menggariskan panduan praktikal termasuk hala tuju bagi tempoh sepuluh tahun (2026-2035) yang akan datang, mengukuhkan hubungan sub-serantau, menggalakkan pertumbuhan mampan serta meningkatkan daya tahan ke arah mencapai kemakmuran bersama di seluruh BIMP-EAGA.


Close