Delegasi Republik Demokratik Timor-Leste adakan lawatan ke BFI




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BELAIT, Isnin, 4 Mei. - Delegasi Republik Demokratik Timor-Leste membuat lawatan ke Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK), hari ini.


Delegasi berkenaan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Komuniti, Tuan Yang Terutama Mariano Assanami Sabino.


Juga mengiringi delegasi tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, Tuan Yang Terutama Bendito dos Santos Freitas dan Menteri Petroleum dan Sumber Mineral, Tuan Yang Terutama Francisco da Costa Monteiro.


Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan para delegasi berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi BFI.


Sepanjang lawatan tersebut, pihak pengurusan BFI memberikan taklimat menyeluruh mengenai operasi syarikat tersebut, termasuk peranannya dalam pengeluaran ammonia dan urea.


Program lawatan itu, merangkumi sesi tinjauan dengan menaiki bas di kawasan loji serta lawatan ke Central Control Room (CCR) dan Taman Keselamatan, yang memberikan gambaran lebih dekat mengenai proses operasi BFI, amalan keselamatan, kepelbagaian produk serta keupayaan pengeluaran.


Kedudukan BFI sebagai loji baja 'single-train' terbesar di Asia Tenggara menyerlahkan peranannya dalam menyokong keselamatan makanan global, di samping menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi dan pertumbuhan industri Negara Brunei Darussalam.


Dalam pada itu, BFI merupakan loji ammonia dan urea utama negara ini. Ditubuhkan pada Oktober 2013 dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam, loji berteknologi tinggi BFI terletak di atas tapak seluas 55 hektar di SPARK, Daerah Belait dan mengkhusus dalam perolehan, pengeluaran, pengedaran, penjualan serta pemasaran baja nitrogen dan industri bahan kimia.


Close