3 Memorandum Persefahaman ditandatangani




Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama-sama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão berkenan menyaksikan Majlis Penandatanganan tiga Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste.


Majlis Penandatanganan MoU dimulakan dengan penandatanganan MoU mengenai kerjasama tenaga yang ditandatangani di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Petroleum dan Sumber Mineral, Tuan Yang Terutama Francisco da Costa Monteiro.


Setelah itu, diikuti dengan penandatanganan MoU mengenai kerjasama kesihatan antara Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Timor-Leste. Mewakili Kementerian Kesihatan NBD ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; manakala Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Timor-Leste pula diwakili oleh Menteri Kesihatan, Puan Yang Terutama Élia António de Araújo dos Reis Amaral.


Seterusnya, menandatangani MoU antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste mengenai penubuhan mekanisme bagi perundingan dua hala ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, Tuan Yang Terutama Bendito dos Santos Freitas.


Close